Untung bersih 1QFY22 OSK Holdings turun 25.89% kepada RM86.27 juta akibat kelemahan segmen hartanah, pembinaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih 1QFY22 OSK Holdings turun 25.89% kepada RM86.27 juta akibat kelemahan segmen hartanah, pembinaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Untung bersih OSK Holdings Berhad untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2022 menurun 25.89% kepada RM86.27 juta berbanding RM116.41 juta pada suku sama tahun lalu disebabkan sumbangan yang rendah daripada segmen hartanah dan pembinaan.

 

Pendapatan kumpulan juga menurun 5.69% kepada RM306.46 juta daripada RM324.96 juta dan pendapatan sesaham mereka juga menurun kepada RM4.18 sen daripada RM5.65 sen.

 

Segmen hartanah mereka mencatatkan penurunan sebanyak 55% dari segi pendapatan sebelum cukai kepada RM26.5 juta dengan pendapatan menurun 21% kepada RM175.1 juta kerana projek yang dilancarkan pada 2021 masih di peringkat awal dan belum mencapai tempoh matang untung memberi pendapatan serta untung kepada kumpulan.

 

"1QFY22 mencatatkan penurunan ketara dari segi sumbangan keuntungan dari segi projek kerjasama di Melbourne daripada RM15.9 juta pada 1QFY21 kepada kerugian sebanyak RM500,000 pada 1QFY22.

 

"1Q21 menyaksikan pengiktirafan keuntungan daripada penyelesaian kumpulan terakhir pembeli setelah selesai pembinaan Fasa 1 Melbourne Square.

 

"Walaupun terdapat peningkatan jualan selepas pembukaan sempadan antarabangsa Australia, namun jualan bagi unit yang sudah siap pada 1QFY21 tidak mencukupi dan menyebabkan sedikit kerugian," katanya kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Segmen pembinaannya juga mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM1.1 juta berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM0.4 juta setahun sebelumnya.

 

"Prestasi segmen adalah bergantung kepada bilangan projek yang telah dilaksanakan oleh bahagian pembangunan hartanah. 

 

"Kemajuan pembinaan projek baharu yang dilaksanakan tidak menjana hasil yang mencukupi untuk menampung kos keseluruhan dan menyebabkan kerugian," katanya.

 

Mengenai prospek masa hadapan, kumpulan itu berkeyakinan mereka akan menunjukkan prestasi cemerlang sehingga tahun FY22 berakhir pada 31 Disember 2022. - DagangNews.com