Unitrade bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, Mei ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unitrade bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, Mei ini

Naib Pengerusi Eksekutif Unitrade Industries Bhd., Sim Keng Chor (tengah) bersama Pengarah Urusannya, Nomis Sim Siang Leng (dua dari kanan) dan Pengarah Eksekutifnya, Simson Sim Xian Zhi (kanan) ketika majlis menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd. yang diwakili Pengarah Urusan Kewangan Korporat, Datuk Bill Tan (dua kiri) dan Ketua Korporat Kewangan, Gary Ting (kiri).
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 April - Unitrade Industries Bhd., antara pengedar dan pemborong bahan binaan tempatan terbesar di negara ini dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Mei ini. 

 

Ini menyaksikan kumpulan memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd. berhubung tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan terbitan 312.5 juta saham baharu.

 

Ia mewakili 20% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan 125 juta saham sedia ada.

 

Daripada 312.5 juta saham baharu, sebanyak 78.1 juta saham diperuntukkan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian manakala 63.5 juta kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Sebanyak 53.7 juta saham pula untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, manakala baki 117.2 juta saham dikhaskan untuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), yang juga akan dilakukan melalui penempatan persendirian.

 

Bagi 125 juta saham yang ditawarkan untuk jualan, sebanyak 78.1 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan MITI manakala 46.9 juta saham akan ditempatkan kepada pelabur terpilih.

 

Di bawah perjanjian itu, M&A Securities akan menaja jamin 141.6 juta saham baharu terdiri daripada bahagian untuk rakyat Malaysia serta pengarah, pekerja dan individu yang layak.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Unitrade, Nomis Sim Siang Leng berkata, pihaknya berbesar hati dapat menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities yang menandakan bermulanya perjalanan kumpulan ke arah penyenaraian.

 

Katanya, langkah itu memberi banyak kelebihan kepada syarikat menjangkaui anggaran hasil yang akan dikumpul.

 

"Status penyenaraian akan meningkatkan pendedahan jenama kami dan kedudukan Unitrade di mata pemberi pinjaman, pelanggan dan pembekal, yang boleh meningkatkan pilihan kredit dan pembiayaan kami," katanya.

 

Secara dasarnya, Unitrade mempunyai rangkaian luas pembekal tempatan dan luar negara yang berjumlah sekitar 483.

 

Ia membawa rangkaian meluas 6,319 unit penyimpanan stok (SKU) seperti paip, injap, kelengkapan, dan aksesori untuk kerja mekanikal dan elektrikal (M&E), serta produk keluli, dan bahan binaan lain untuk kerja-kerja sivil.

 

Kumpulan menyediakan perkhidmatan kepada 1,232 pelanggan aktif merangkumi kontraktor M&E, bangunan, serta peniaga, pengilang dan peruncit.

 

Bagi langkah penyenaraian itu, M&A merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan. - DagangNews.com