KUALA LUMPUR 6 Okt. - Yinson Holdings Bhd. menerusi unitnya di Singapura, Yinson Venture Capital Pte Ltd melabur dalam firma tenaga bersih, Sterling PBES Energy Solutions Ltd (SPBES) yang berpangkalan di Kanada.
Yinson Venture Capital adalah anak syarikat milik penuh Yinson Green Technologies Pte Ltd (YGT).
Pelaburan tersebut mengukuhkan strategi pelaburan YGT dalam elektrifikasi marin selaras dengan matlamat kumpulan mencapai neutral karbon menjelang 2030 seterusnya sifar karbon pada 2050.
Sebagai tambahan kepada pelaburan itu juga, YGT dan SPBES memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membentuk usaha sama untuk mempercepatkan pelancaran penyelesaian SPBES berskala besar di Asia Tenggara dan seterusnya.
Naib Presiden Eksekutif Penerokaan Baharu dan Teknologi Yinson, Eirik Barclay berkata, kerjasama itu boleh memanfaatkan kedudukan Yinson yang kukuh di rantau ini dengan menawarkan penyelesaian perniagaan SPBES kepada sektor marin, pelabuhan dan simpanan tenaga perindustrian.
Katanya, ia juga dapat mewujudkan perkhidmatan dan hab untuk penyelesaian pertukaran bateri dan simpanan tenaga.
"Kami percaya SPBES dilengkapi dengan standard tinggi dalam keupayaan sistem simpanan tenaga termasuk teknologi canggih dan ciri-ciri keselamatan terkini.
"Sebagai perintis dalam ruang ini, SPBES berada dalam kedudukan yang strategik untuk mendapat kelebihan daripada inisiatif penyahkarbon marin di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kerjasama itu turut menyasarkan untuk memperluaskan penggunaan teknologi tersebut kepada sektor bukan marin yang berpusat pada strategi mobiliti elektrifikasi YGT.
Yinson dan SPBES pada mulanya bekerjasama dalam pembangunan reka bentuk Hydroglyder - kapal penumpang elektrik Yinson yang boleh ditukar bateri, yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada matlamat sifar konsortium diterajui Seatech Solutions International Pte Ltd..
Konsortium ini menerima pembiayaan daripada Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan Institut Maritim Singapura (SMI) pada Ogos lalu untuk menyediakan penyelesaian kapal elektrik sepenuhnya di Pelabuhan Singapura.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPBES, Brent Perry berkata, syarikatnya mempunyai perancangan besar untuk menjadi peneraju dalam penyelesaian tenaga bersih global dan Yinson dilihat sebagai rakan kerjasama yang cemerlang bagi mencapai matlamat tersebut.
"Komitmen kami untuk bekerjasama ke arah mencapai sifar pelepasan termasuk penyelesaian tenaga bagi maritim dan juga industri lain. Oleh itu, kami bersama-sama membina model perniagaan baharu ke arah dunia yang lebih bersih," jelasnya. - DagangNews.com








