UMW meterai perjanjian RM12 juta dengan Cenergi SEA bagi kerja penyelenggaraan enjin Jenbacher | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UMW meterai perjanjian RM12 juta dengan Cenergi SEA bagi kerja penyelenggaraan enjin Jenbacher

(Dari kiri) Hairol Azizi Tajudin dan Pengurus Besar Pengurusan Aset Cinergi RE, Halim Selamat, bersama Datuk Ahmad Fuaad Kenali dan Presiden Bahagian Peralatan UMW, Megat Shahrul Azmir Nordin
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jun - UMW Group telah menandatangani perjanjian perkhidmatan penyelenggaraan (MSA) bernilai RM12 juta dengan anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, Cenergi SEA Bhd untuk tempoh lima tahun.

 

Perjanjian itu telah ditandatangani oleh anak syarikat UMW Group, UMW Industrial Power Services Sdn Bhd (UIPS) dan anak syarikat Cenergi SEA, Cenergi RE Sdn Bhd.

 

Melalui perjanjian tersebut, UIPS akan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan untuk enjin biogas Jenbacher sedia ada milik Cenergy RE di seluruh Malaysia serta yang baharu.

 

Semua enjin Jenbacher yang diedarkan oleh UIPS di Malaysia diperakui oleh MyHijau adalah serasi dengan Cenergi RE, yang telah memperoleh kuota tarif suapan Penguasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), kata UMW dalam satu kenyataan hari ini.

 

Cenergy RE terlibat dalam perniagaan tenaga boleh diperbaharui dengan 15 loji jana kuasa biogas, dengan jumlah kapasiti 25 megawatt (MW), di mana empat daripadanya dilengkapi dengan lima enjin biogas Jenbacher, dengan jumlah kapasiti penjanaan 6.2MW.

 

“Dengan lapan lagi loji jana kuasa biogas yang mampu menjana sehingga 14.5MW tenaga elektrik sedang dijalankan, ia membuka jalan untuk kerjasama selanjutnya antara UIPS dan Cenergi RE,” kata UMW.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi SEA, Hairol Azizi Tajudin yakin dengan UIPS sebagai penyedia perkhidmatan penyelenggaraan untuk enjin biogas Jenbacher akan melancarkan operasi dan penyelenggaraan loji sedia ada.

 

“Kerjasama dengan UIPS ini mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pemain utama dalam industri tenaga boleh diperbaharui dan kami teruja dengan prospek masa depan yang dibawanya,” tambah beliau.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata pihaknya bertuah dapat bekerjasama dengan Cenergi RE dan akan memastikan enjin biogas diselenggara dengan baik agar ia terus produktif.

 

“Loji tenaga menggunakan enjin Jenbacher yang beroperasi menggunakan gas asli atau sumber tenaga boleh diperbaharui boleh mencapai kecekapan penukaran tenaga sehingga 48.7%.

 

“Selain itu, apabila beroperasi dalam konfigurasi haba dan tenaga gabungan, kecekapan keseluruhan boleh meningkat sehingga 95%, membantu pelanggan memaksimumkan pulangan mereka, sambil mengurangkan jejak karbon dan sisa mereka,” tambahnya.

 

Pada pukul 2:57 petang hari ini, saham UMW Holdings tidak berubah pada RM3.71 dengan modal pasaran bernilai RM4.3 bilion. -DagangNews.com