UEM Sunrise terima surat saman daripada Nipponkey, dakwaan langgar perjanjian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Sunrise terima surat saman daripada Nipponkey, dakwaan langgar perjanjian

KUALA LUMPUR 9 Mac - UEM Sunrise Bhd menerima surat saman bertarikh 2 Mac daripada Nipponkey Sdn kerana beberapa dakwaan melanggar perjanjian.

 

Ia membabitkan perjanjian jual beli di Kuala Lumpur, dua perjanjian pelupusan dan pemindahan tanah di Tanjung Kupang, Johor Bahru dan 12 lagi perjanjian pelupusan dan pemindahan tanah di kawasan yang sama di Johor Bahru.

 

Tuntutan itu menamakan tiga anak syarikat UEM Sunrise iaitu Lucky Bright Star Sdn Bhd, Nusajaya Rise Sdn Bhd dan Symphony Hills Sdn Bhd sebagai defendan.

 

Menurut surat saman itu, tuntutannya termasuk defendan membayar RM1.67 juta kepada Nipponkey, ganti rugi am dan kos lain dan faedah pada 5% setahun yang dikira dari tarikh tindakan sehingga tarikh pembayaran penuh dan muktamad.

 

UEM dalam pemfailannya memaklumkan defendan sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam dan akan mengambil langkah yang perlu untuk mempertahankan tindakan itu dan menguatkuasakan hak defendan.

 

"Sekiranya syarikat kalah dalam kes itu, impak kewangan kepada syarikat hendaklah terhad kepada jumlah yang diberikan oleh mahkamah," katanya.

 

UEM Sunrise menambah bahawa tuntutan mahkamah itu tidak akan memberi kesan kepada operasinya.

 

Harga saham kumpulan ditutup 0.5 sen atau 1.85% lebih tinggi pada 26.5 sen manakala permodalan pasarannya ialah RM1.32 bilion. - Dagangnews.com