Tuntutan GST masih berbaki RM4.763b, diselesaikan tahun ini | DagangNews Skip to main content

Tuntutan GST masih berbaki RM4.763b, diselesaikan tahun ini

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Bayaran balik baki tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM4.763 bilion dijangka dapat diselesaikan pada penghujung tahun 2020. 

Bermula 22 Jun hingga 8 Julai 2020, Kementerian Kewangan telah melangsaikan tuntutan GST berjumlah RM1.479 bilion kepada syarikat-syarikat terpilih.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, pihaknya akan segera menyelesaikan bayaran balik berkenaan bagi melancarkan aliran tunai syarikat-syarikat terlibat ketika proses pemulihan ekonomi negara. 

“Sebagai langkah untuk memastikan bayaran GST dapat dibuat dalam masa terdekat, kerajaan pada pengumuman 15 Jun 2020 telah bersetuju supaya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengambil pendekatan untuk bayar dahulu dan audit kemudian bagi syarikat terpilih.

 

Mohd. Shahar
Mohd. Shahar Abdullah

 

“Ini dilakukan berdasarkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2019 dan kriteria-kriteria tertentu,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) yang meminta penerangan sama ada bayaran balik GST telah diselesaikan dan apakah kekangan yang dihadapi kementerian berhubung isu tersebut. 

Mohd. Shahar berkata, kelewatan bayaran balik GST adalah susulan pendaftar (registran) memberi maklumat bank yang tidak sah.

“Kedua, registran gagal memberi maklum balas dan kemukakan dokumen bagi tujuan verifikasi.

“Kementerian tidak akan menangguhkan dan akan mempercepatkan bayaran balik tuntuan GST bagi membantu aliran tunai pelbagai sektor perniagaan ketika tempoh pemulihan ekonomi yang amat mencabar ini,” tambah beliau.

Berdasarkan Seksyen 8 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018, ia memperuntukkan tempoh masa enam tahun untuk bayaran balik tuntutan GST mulai September 2018. - DagangNews.com