Tumpuan kepada ringgit menyebabkan Malaysia belum capai status hab kewangan Islam antarabangsa - Fitch Ratings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tumpuan kepada ringgit menyebabkan Malaysia belum capai status hab kewangan Islam antarabangsa - Fitch Ratings

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Malaysia masih belum mencapai status "hab antarabangsa" untuk kewangan Islam, walaupun menguasai bahagian terbesar terbitan sukuk global, kerana tumpuannya kepada ringgit untuk terbitan dan bukannya mata wang yang didagangkan secara global, menurut Fitch Ratings.

 

Menurut data Bank Negara Malaysia, Malaysia menguasai 40.3% bahagian pasaran sukuk global terkumpul dan 43.3% bahagian terbitan sukuk global pada 2022.

 

Majoriti sukuk korporat global atau 69.6% turut diterbitkan di Malaysia.

 

Ketua Kewangan Islam Global Fitch Ratings Bashar Al Natoor dalam temu bual dengan New Straits Times berkata, halangan yang mengehadkan Malaysia daripada mencapai cita-citanya untuk menjadi hab kewangan Islam antarabangsa menjangkaui sektor itu dan memerlukan pelarasan dasar kerajaan.

 

Bashar berkata, Malaysia perlu mempunyai kawal selia, persekitaran dan ekosistem yang betul untuk menarik pelabur asing.

 

"Saya fikir terdapat banyak batasan di sini, contohnya isu mata wang. Jadi beberapa isu ini lebih besar daripada kewangan Islam dan berpunca daripada dasar kerajaan dan bukannya sektor khususnya," katanya.

 

Walaupun Malaysia telah menerajui kewangan Islam, beliau berkata negara lain turut meningkatkan kepentingannya dalam landskap.

 

Beliau berkata kebanyakan negara Majlis Kerjasama Teluk mempunyai mata wang mereka disandarkan kepada dolar AS, yang membolehkan mereka menerbitkan sukuk dalam mata wang keras, atau mata wang yang didagangkan secara global.

 

"Tetapi itu tidak berlaku di Malaysia. Jika anda kembali 10 tahun lalu, Malaysia adalah pemain paling aktif dan terbesar dalam dunia kewangan Islam tetapi kini bukan kerana prestasi Malaysia semakin merosot sebaliknya kerana negara lain semakin aktif.

 

"Pada akhirnya, yang lain berkembang di peringkat antarabangsa dan tempatan manakala kisah Malaysia kekal setakat dalam negara," tambah Bashar.

 

"Malaysia sememangnya negara kewangan Islam yang paling berkembang apabila ia berkaitan dengan rangka kerja, perundangan dan ia juga mendahului dari segi saiz terbitan sukuk, berbanding negara lain.

 

"Tetapi itu semua adalah cerita nasional dan ia masih bukan hab untuk antarabangsa orang ramai datang ke pasaran. Malaysia mengambil bahagian besar dari segi terbitan global tetapi itu semua dalam ringgit," katanya.  - DagangNews.com