TREVO Malaysia sedia khidmat perkongsian kenderaan P2P dengan jaminan perlindungan pemilik dan penyewa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TREVO Malaysia sedia khidmat perkongsian kenderaan P2P dengan jaminan perlindungan pemilik dan penyewa

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Perkhidmatan perkongsian kenderaan semakin popular justeru TREVO Malaysia menyediakan platform penyewaan kereta yang memberi jaminan perlindungan kepada pemilik kereta dan penyewa.

 

Pengurus Besar TREVO Malaysia, Susan Teoh berkata komitmen terhadap kepercayaan dan keselamatan tidak dapat ditandingi kerana platform itu melaksanakan rangka kerja peneraju industri untuk melindungi dan memberikan ketenangan fikiran kepada kedua-dua penyewa dan pemilik.

 

“Semua pengguna berdaftar dan disahkan boleh berkomunikasi dua hala antara pemilik dan penyewa kereta bagi memahami tujuan penyewaan sebelum menerima tempahan.

 

Tambahan pula, semua kenderaan tersenarai di platform perlu dilengkapi dengan penjejak GPS untuk pengesanan masa nyata dan khidmat sokongan pelanggan 24 jam setiap hari juga tersedia melalui aplikasi TREVO,” kata Susan.

 

 

Susan Teoh
Susan Teoh

 

 

Menurut syarikat tersebut, ekonomi perkongsian, terutamanya perkongsian kereta Peer-to-Peer (P2P), telah menjadi sumber pendapatan sampingan semakin popular bagi kebanyakan isi rumah Malaysia agar memanfaatkan kenderaan yang kurang digunakan.

 

TREVO Malaysia menjadi salah satu pilihan memandangkan ia menyediakan aplikasi pasaran P2P yang membolehkan pemilik menyewakan kenderaan dengan selamat sambil membolehkan penyewa memandu kereta di kawasan berdekatan.

 

Diberi kuasa oleh Kementerian Pengangkutan dan Proses Pengujian atau Proof Of Concept (POC) oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada tahun 2020, syarikat tersebut telah mempunyai lebih ribuan pemilik kereta aktif dan terus berkembang.

 

Di samping itu, syarikat tersebut telah menjalin kerjasama dengan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) tahun lalu untuk menetapkan standard baharu industri dengan melancarkan insurans P2P inovatif pertama, TREVO Shield.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad dan Allianz General, Sean Wang  berkata “Kerjasama kami dengan TREVO Malaysia menekankan fleksibiliti dan menyediakan perlindungan bermakna untuk pemilik kereta, dengan menyediakan pengalaman perkongsian yang lebih lancar dan memberi ketenangan fikiran.”

 

TREVO Shield menawarkan tiga pelan iaitu Shield 60, Shield 65 dan Shield 75 dengan memberi perlindungan kenderaan pemilik daripada kecurian, kebakaran, kerosakan dan liabiliti harta pihak ketiga sekiranya penyewa menyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada pihak ketiga.

 

Insurans itu juga didatangkan dengan pilihan tambahan daripada pelepasan Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) daripada TREVO Malaysia serta perlindungan kerosakan pada badan, cat dan bampar kereta; perlindungan kerugian daripada kebakaran dan kecurian dan bantuan di tepi jalan dan menunda, antara faedah lain.

 

Sementara itu, TREVO Shield turut memberi perlindungan Super Collision Damage Waiver (SCDW) untuk tetamu agar liabiliti mereka untuk pembaikan kerosakan dihadkan kepada 10% sekiranya berlaku kemalangan. -DagangNews.com