TRC Synergy sasar sehingga RM800 juta jika projek MRT3 diperoleh – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TRC Synergy sasar sehingga RM800 juta jika projek MRT3 diperoleh – HLIB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac -TRC Synergy Berhad kekal dipengaruhi oleh pelancaran projek MRT3 dengan sasaran sebanyak RM600 hingga 800 juta jika mereka memperoleh kontrak projek itu, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Tambahnya, syarikat itu juga mempunyai peluang lain di Sarawak seperti penyambungan projek Pan Borneo Highway dan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta projek ‘sakit’ dengan anggaran RM50 juta setiap satu.

 

Cabang hartanah TRC juga menyasarkan untuk memulakan projek pembangunan bercampur Ara Sentral Fasa 2, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta, pada suku ketiga tahun ini dan mungkin akan dilancarkan pada tahun kewangan 2024 (FY24), katanya.

 

TRC juga sedang menunggu anugerah RM75 juta daripada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC) berikutan penghakiman terhadap Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) berhubung projek Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

 

“Ini mungkin akan meningkatkan pendapatan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) sebanyak RM8 juta,” kata firma itu di dalam nota hari ini.

 

Sementara itu, unit perniagaan TRC di Australia kekal suboptimum di kala sentimen hartanah yang lemah dan pemulihan pelancongan yang masih perlahan.

 

Oleh itu, firma tersebut mengunjurkan pendapatan FY23/FY24 meningkat 0.1%/6.3%.

 

Menurut firma penyelidikan itu, bagi sektor pembinaan, buku pesanan TRC yang belum dibilkan berjumlah RM700 juta iaitu 1.2x daripada pendapatan pembinaan tahun kewangan 2022 (FY22).

 

Firma itu berkata, kira-kira 50% daripada buku pesanannya yang belum dibilkan akan disiapkan pada FY23 manakala buku tender berjumlah RM3.8 bilion, di mana HLIB menganggarkan kira-kira RM3 bilion daripada tender MRT3 CMC301 dan selebihnya daripada projek jalan raya tender terbuka yang mempunyai persaingan sengit.

 

“Kami kini menjangkakan tender MRT3 Tahap 1 diberikan pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) berikutan kajian penjajaran semula dan potensi pengurangan kos selanjutnya belum selesai.

 

Dengan mengandaikan bidaan Tahap 1 yang tidak berjaya, TRC menyasarkan kemenangan RM600 hingga 800 juta untuk MRT3 Tahap 2,” katanya.

 

HLIB telah mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) 35 sen. -DagangNews.com