KUALA LUMPUR 10 Nov - Orang ramai dijemput untuk menghadiri Selangor International Travel Photography Festival anjuran Tourism Selangor di UG Atrium, Paradigm Mall, Petaling Jaya mulai 12 hingga 13 November 2022.
Sebagai salah satu usaha bagi mempromosikan destinasi pelancongan domestik negeri, festival tersebut pada tahun ini akan menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan dan pameran fotografi, perbincangan dan pembentangan, persembahan kebudayaan, seminar dan lain-lain.
Negeri Selangor telah berjaya menarik lebih 10.2 juta pelancong domestik ke negeri Selangor pada tahun 2021 dan menjadikan negeri Selangor sebagai negeri yang paling ramai dikunjungi di Malaysia.
Melalui kerjasama dengan pemain industri pelancongan utama, seperti Jumpstreet Asia, Selangor Fruit Valley, Hotel Eastin, Muzium Coklat, Jungle School Gombak dan Gamuda Land, festival tersebut mampu meningkatkan lagi usaha mempromosikan pelancongan domestik negeri Selangor dengan lebih baik.

Untuk butiran lanjut, sila lawati laman media sosial rasmi Tourism Selangor di Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok untuk pelbagai informasi terkini. - DagangNews.com








