Top Glove hanya akan kembali catat untung dalam tempoh 9 hingga 12 bulan lagi, kata Pengerusi Kumpulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Top Glove hanya akan kembali catat untung dalam tempoh 9 hingga 12 bulan lagi, kata Pengerusi Kumpulan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Dis - Top Glove Corp. Bhd. optimis industri sarung tangan getah masih memiliki prospek cerah pada masa hadapan meskipun berdepan cabaran getir ketika ini. 

 

Malah, pengerusi eksekutifnya, Tan Sri Lim Wee Chai menjangkakan kumpulan akan kembali mencatat keuntungan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan akan datang. 

 

Namun, beliau menyifatkan usaha itu bukan mudah kerana ada turun naik dalam industri sarung tangan getah yang masih berdepan dengan masalah lebihan bekalan dan penurunan harga jualan purata (ASP). 

 

"Saya menjangkakan kerugian Top Glove akan mengecil dalam tempoh tiga bulan akan datang, dan kumpulan kemudiannya akan pulang modal enam bulan dari sekarang. 

 

"Bagaimanapun, kumpulan hanya akan kembali mencatat keuntungan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan akan datang," katanya dalam sidang akhbar mengenai prestasi kewangan Top Glove pada suku pertama berakhir 30 November 2022 secara maya, hari ini.  

 

Lim Wee Chai
Lim Wee Chai

 

 

Akibat berdepan persekitaran mencabar, Top Glove memulakan tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023 (FY23) dengan kerugian yang lebih besar meningkat tiga kali ganda kepada RM168.24 juta bagi suku pertama berakhir 30 November 2022.

 

Kumpulan mencatat kerugian buat kali kedua berturut-turut ekoran jualan yang lebih rendah dan normalisasi harga jualan purata (ASP) sarung tangan getah secara berterusan. 

 

Berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, syarikat pengeluar sarung tangan getah itu mencatat keuntungan bersih sebanyak RM185.72 juta.

 

Bagi perbandingan suku ke suku, kerugian pada suku pertama itu terus meningkat daripada RM52.59  juta yang direkodkan pada suku sebelumnya.

 

Prestasi kewangan yang kurang memberangsangkan itu berpunca daripada ketidakseimbangan bekalan/permintaan yang menyaksikan pelanggan menangguhkan aktiviti pesanan semula sedangkan mereka terus mengurangkan inventori sarung tangan sedia ada.

 

 

Top Glove

 

 

Baca : Top Glove rugi RM168.24 juta pada suku pertama, catat kerugian kali kedua berturut-turut

 

Wee Chai juga mendapati persaingan harga yang agresif dalam industri dengan pengeluar sarung tangan getah menjual pada harga yang sangat rendah, telah menyebabkan gangguan dalam pasaran.

 

"Pengeluar sarung tangan getah dari China juga telah mengurangkan harga serendah AS$14 per 1,000 keping berbanding ketika pandemik ia dijual lebih tinggi daripada AS$100 per 1,000 keping," katanya.

 

Beliau menjangkakan ketidakseimbangan bekalan-permintaan akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk kembali normal dengan ASP sarung tangan menghampiri titik terendah.

 

 

Lim Cheong Guan
Lim Cheong Guan

 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, terdapat beberapa faktor yang akan membantu kumpulan mencatat kembali keuntungan terutamanya penurunan ASP dan volum yang mulai stabil. 

 

"Apabila permintaan mula meningkat dan harga tidak bergerak, kami berharap dapat kembali mencatat semula untung," jelasnya.

 

Menurutnya, walaupun prospek jangka panjang bagi industri sarung tangan adalah positif, Top Glove menganggarkan persekitaran yang mencabar ini akan berterusan sehingga 2023.

 

"Kami sedar bahawa tempoh pelarasan adalah dijangkakan berikutan pandemik global yang besar.

 

"Bagaimanapun, kami optimis bahawa bekalan/permintaan sarung tangan akan mengimbangi semula,
dan mewakili tahap penggunaan serta potensi sebenar industri sarung tangan," jelasnya.

 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada lagi subsidi kepada syarikat gergasi, Wee Chai berkata, ia tidak memberi kesan ketara kerana penggunaan elektrik hanya melibatkan kira-kira 4% kepada kumpulan memandangkan Top Glove turut memberi tumpuan kepada penggunaan solar dalam operasinya. - DagangNews.com