Top Glove dapat kelulusan pemegang saham teruskan penyenaraian di Hong Kong, dijangka selesai Q122 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Top Glove dapat kelulusan pemegang saham teruskan penyenaraian di Hong Kong, dijangka selesai Q122

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 8 Dis - Top Glove Corp. Bhd. mendapat kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini bagi menyokong penyenaraian kumpulan di Stock Exchange of Hong Kong (HKEX).

 

Pada mesyuarat itu, kesemua resolusi diluluskan pemegang saham, termasuklah cadangan terbitan saham baharu sehingga 793.5 juta termasuk tambahan saham baharu sebanyak 103.5 juta yang akan diterbitkan di bawah pilihan lebihan peruntukan jika dilaksanakan sepenuhnya. 

 

Selain itu, ia turut meluluskan resolusi berkaitan pindaan perlembagaan untuk memudahkan cadangan penyenaraian dwi utama itu untuk menyelaraskan perlembagaan dengan peruntukan undang-undang, kawal selia penyenaraian dan peraturan berkaitan di Hong Kong.

 

Dengan kelulusan itu, ia membolehkan permohonan penyenaraian Top Glove diteruskan ke peringkat seterusnya, bagi mendapat kelulusan HKEX.

 

Cadangan penyenaraian itu dijangka selesai pada suku pertama 2022 (Q122), sekiranya tiada sebarang perkara di luar jangkaan dan tertakluk kepada kelulusan berkaitan.

 

Dalam kenyataan, Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow berkata, penyenaraian itu akan memberi lebih nilai kepada pemegang saham kumpulan. 

 

"Selain itu, ia juga meningkatkan standard tadbir urus kami dan juga penjenamaan global, sejajar dengan keterlihatan profil syarikat dalam kalangan pihak berkepentingan antarabangsa," katanya. 

 

Cadangan penyenaraian itu membolehkan Top Glove mengembangkan platform globalnya dan dianggarkan menjana modal sehingga RM2.2 bilion untuk pertumbuhan perniagaan. 

 

Apabila langkah ini selesai, saham Top Glove boleh digunakan antara 3 bursa saham yang disenaraikan, iaitu Bursa Securities, SGX-ST dan HKEX, yang merupakan pasaran yang sangat cair dan aktif.

 

Setakat 2.08 petang ini, saham Top Glove susut 7 sen atau 2.8% kepada RM2.43 dengan 10.94 juta saham diniagakan. - DagangNews.com