Tok Bali disasar jadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu dengan sasaran pelaburan RM2.3 bilion - PM | DagangNews Skip to main content

Tok Bali disasar jadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu dengan sasaran pelaburan RM2.3 bilion - PM

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Julai - Kerajaan berhasrat untuk menjadikan kawasan Tok Bali di Pasir Puteh Kelantan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu menerusi projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) iaitu Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi pelabuhan Tok Bali.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu dapat menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan RM2.3 bilion selain dijangka menjana sebanyak 4,200 peluang pekerjaan baharu dan 270 peluang keusahawanan untuk penduduk tempatan.

 

"Kerajaan juga akan membina sebuah kompleks digital pelbagai guna berkonsepkan hiburan sukan, melibatkan kos  RM6 juta, di kawasan seluas 23 hektar di Ketereh," katanya ketika merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, Pakej Central Spine Road (CSR) sepanjang 191 kilometer dengan kos RM7.7 bilion, antara Gua Musang hingga Kuala Krai dijangka siap pada 2026 dan akan memudahkan perjalanan rakyat serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat. 

 

Beliau berkata, dalam bidang kesihatan pula, sebanyak 12 projek pembinaan klinik kesihatan serta kuarters dijangka siap dibina pada tahun ini, manakala dua lagi projek dalam pembinaan iaitu di Gua Musang dan hospital Bachok yang merangkumi 76 buah katil, dijangka siap tahun hadapan.

 

Pada masa sama, beliau berkata, pembinaan Jambatan Palekbang di Tumpat akan menjadi pemangkin kepada pembangunan baharu pula dijangka siap pada 2025 dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion melibatkan 88 projek merangkumi 64 projek sambungan dan 24 projek baharu di negeri ini.

 

pm

 

"Kelantan juga akan memperoleh manfaat daripada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan Kota Baharu ke Pelabuhan Klang melibatkan jaringan kawasan 43.86km dan mempunyai dua stesen iaitu stesen penumpang dan kargo di Pasir Puteh dan stesen penumpang di Tunjong, Kota Bharu.

 

"Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang sedang dinaik taraf mampu menampung kapasiti penumpang daripada 1.5 juta kepada 4 juta setahun dan dijangka siap pada 2025," katanya. 

 

pm

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan terus memberi perhatian dalam mengatasi kadar kemiskinan di Kelantan dengan peruntukan RM124 juta kepada hampir 590,000 penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) meliputi golongan isi rumah, bujang dan warga emas yang memerlukan.

 

Beliau berkata, kerajaan juga telah memberikan bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40. - DagangNews.com