TNB ceburi pembangunan ladang solar di UK dengan kerjasama Belectric | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB ceburi pembangunan ladang solar di UK dengan kerjasama Belectric

KUALA LUMPUR 22 Dis - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Vantage RE Ltd. menandatangani kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) dengan Belectric GmbH untuk pembinaan dan pentauliahan ladang solar 102MW di United Kingdom (UK).

 

Projek itu juga termasuk pilihan untuk membangunkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) 65MW setempat dan berupaya meningkatkan aliran hasil TNB melalui penyertaan dalam perkhidmatan sampingan dan pasaran kapasiti.

 

Pelaburan tersebut adalah satu pencapaian penting bagi TNB sempena pengluasan penglibatannya dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE) di UK.

 

 

Baharin Din
Baharin Din

 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pelaburan itu telah meningkatkan kapasiti RE TNB di UK kepada 632MW, pertumbuhan ketara 61% dalam kapasiti MW sejak pelancaran Vantage RE pada Julai 2021. 

 

Katanya, penglibatan kumpulan dalam kegiatan pembangunan greenfield bagi penjanaan tenaga hijau adalah sejajar dengan aspirasi TNB untuk menjadi penyedia tenaga mampan global. 

 

"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Belectric sambil TNB mengembangkan portfolio penjanaan tenaga solarnya di UK, meneruskan kemaraan dalam usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di peringkat global demi mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050, seperti yang digariskan dalam Hala Tuju Kelestarian TNB. 

 

"Pengalaman dan kepakaran kami dalam membangunkan ladang solar di Malaysia melalui projek solar berskala besar (LSS) penting dalam memastikan projek ini berjaya, seterusnya mengukuhkan kehadiran kami dalam RE di UK," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Malah, menurutnya, ia juga langkah penting ke arah perniagaan TNB yang kalis masa depan dalam peralihannya kepada ekonomi hijau dan terus menjaga kepentingan nilai pemegang sahamnya.

 

Ladang solar tersebut dijangka mencapai tarikh operasi komersial (COD) menjelang suku pertama 2024. 

 

Apabila beroperasi kelak, ladang yang dibangunkan di dua lokasi itu dijangka memberikan hasil jangka panjang yang stabil di bawah skim subsidi Contract-for-Difference (CfD) selama 15 tahun, yang telah diperoleh pada Julai 2022. 

 

Pasukan Vantage RE akan memantau pelaksanaan projek ini yang bakal menjana tenaga bersih dalam memenuhi keperluan tahunan 37,000 kediaman, serta menghindari pelepasan lebih 46,750 tan karbon dioksida (CO2) berbanding penjanaan bahan api fosil. 

 

Kedua-dua tapak juga menawarkan peluang inisiatif terhadap alam sekitar yang menggalakkan faedah kepelbagaian biodiversiti, sekali gus menyokong agenda biodiversiti TNB yang lebih luas. - DagangNews.com