TNB berminat teroka peluang di Ibu Kota Nusantara, perkukuh kerjasama PLN dalam peralihan tenaga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB berminat teroka peluang di Ibu Kota Nusantara, perkukuh kerjasama PLN dalam peralihan tenaga

Datuk Ir Baharin Din (depan, kanan) menyerahkan LOI kepada Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz (depan, kiri) sambil disaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), untuk meneroka peluang pembangunan RE dan penyelesaian peralihan tenaga dalam IKN Nusantara di Jakarta, Indonesia pada 8 Januari 2023

KUALA LUMPUR 13 Jan - Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyerahkan surat hasrat (LOI) kepada Pengerusi Otorita Ibu Kota Nusantara (IKN) pada 8 Januari 2023. 

 

LOI itu menyatakan minat TNB untuk meneroka dan mengambil bahagian dalam pembangunan dan operasi penyelesaian tenaga di IKN Nusantara, Indonesia merentasi pelbagai teknologi seperti gas, solar, angin, hidro dan penyimpanan bateri. 

 

TNB juga berminat untuk meneroka sebarang peluang dalam perniagaan kesalinghubungan grid melalui kerjasama dengan PT Perusahaan Listrik Negara (PLN) untuk membangunkan infrastruktur penghantaran voltan tinggi yang selamat dan boleh dipercayai di Global City for All, IKN Nusantara. 

 

Penyerahan LOI itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan dua hari ke Indonesia yang berakhir pada 9 Januari 2023. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, LOI akan membantu mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama mempercepatkan pembangunan tenaga bersih di kedua-dua negara. 

 

Beliau berkata, selain terdapat banyak persamaan antara kedua-dua syarikat, TNB dan PLN akan mendapat manfaat bersama daripada perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam menghadapi cabaran peralihan tenaga.

 

Katanya, TNB mencadangkan agar MoU disemak semula bagi membolehkan kedua-dua utiliti menghidupkan kembali kajian penerokaan pembangunan kemudahan kesalinghubungan voltan tinggi di antara Sumatera, Indonesia ke Semenanjung Malaysia.

 

 

tnb
Datuk Ir Baharin Din (depan, kanan) menyerahkan cadangan semakan semula MoU antara TNB dan PLN kepada Evy Haryadi (depan, kiri) di Jakarta, Indonesia pada 8 Januari 2023

 

 

tnb
                                                             Datuk Ir Baharin Din

 

“Rangkaian di antara Sumatera dan Semenanjung Malaysia adalah sebahagian daripada Grid Tenaga ASEAN. 

 

"Apabila projek ini siap kelak, negara-negara di rantau ASEAN akan dapat berkongsi sumber penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE), mengambil bahagian dalam perdagangan tenaga pelbagai hala dan menyediakan keselamatan tenaga untuk rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pada majlis itu, Baharin turut menyerahkan satu lagi LOI kepada Pengarah Perancangan Sistem dan Transmisi PLN, Evy Haryadi untuk mengkaji semula MoU sebelum ini bagi meneruskan kerjasama peralihan tenaga yang bertanggungjawab, sejajar dengan komitmen kelestarian kedua-dua syarikat tenaga," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com