TM Wholesale, Telin jalin kerjasama teroka peluang perniagaan kabel dasar laut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM Wholesale, Telin jalin kerjasama teroka peluang perniagaan kabel dasar laut

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 April - TM Wholesale dan anak syarikat PT Telkom Indonesia Tbk (Telkom), Telin baru-baru ini telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk usaha sama strategik serta meneroka peluang perniagaan kabel dasar laut bersama.

 

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Dubai di mana TM diwakili Naib Presiden Eksekutif TM Wholesale, Amar Huzaimi Md Deris dan Telin pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Budi Satria Dharma Purba (Budi).

 

Kolaborasi terbaru ini akan mengukuhkan lagi hubungan perniagaan ke perniagaan (B2B) dan meluaskan kerjasama antara kedua-dua pihak, serta menyediakan penyelesaian sambungan yang boleh dipercayai, dipelbagai dan tanpa gangguan kepada pelanggan mereka.

 

Amar Huzaimi berkata, TM Wholesale komited untuk menyampaikan kebolehcapaian yang lebih besar dan ketersambungan yang berdaya tahan kepada pelanggan. 

 

Beliau berkata, kerjasama ini membolehkan pihaknya memperoleh kapasiti kabel dasar laut segera dalam menangani permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan jalur lebar. 

 

"Ia juga memberikan kami akses kepada sambungan yang pelbagai dan laluan alternatif yang menghubungkan Malaysia ke seluruh dunia, di samping mengoptimumkan kapasiti kabel dasar laut sedia ada kami. 

 

"Selain itu, ia juga membuka ruang untuk kami meneroka pendekatan paling kos efektif untuk projek pelaburan kabel dasar laut akan datang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan rantau ini," katanya.

 

Sementara itu, Budi Satria pula berkata, Telin dan TM Wholesale berkongsi kepentingan bersama yang bertujuan untuk memberi perkhidmatan cemerlang kepada pihak-pihak berkepentingan. 

 

"Kali ini, kami teruja untuk bersama-sama meneroka peluang dalam aktiviti membeli, menjual, menaik taraf dan melabur, terutamanya dalam hal-hal berkaitan kabel dasar laut. 

 

"Penyertaan Telin dalam ketersambungan global bertumpu pada memastikan ketersambungan yang boleh dipercayai untuk memenuhi permintaan internet pantas yang makin melonjak berikutan trend semasa seperti pengaturan kerja yang fleksibel, penstriman video dan permainan. 

 

"Kami percaya bahawa kerjasama ini akan memenuhi keperluan semua pihak yang berkepentingan dengan sewajarnya," katanya.

 

Pada masa ini, TM mempunyai 30 sistem kabel dasar laut yang dimiliki mahupun dipajak, menjangkau lebih 320,000 kilometer di seluruh dunia dan Telin mempunyai 22 sistem kabel dasar laut, dimiliki dan dipajak, melebihi 222,260 kilometer. 

 

 

Bersama-sama, kedua-dua pihak dapat memanfaatkan keupayaan masing-masing untuk memberikan prestasi perkhidmatan tertinggi dan pengalaman kualiti terbaik kepada semua pelanggan. 

 

TM telah lama menjadi rakan kongsi Telin dalam banyak aspek yang berkaitan dengan penyelesaian perniagaan dan saling berbesar hati untuk bekerjasama dalam menyokong permintaan digital masa depan ASEAN dan rantau lain untuk sambungan, infrastruktur digital dan penyelesaian," katanya. - DagangNews.com