TM R&D diiktiraf atas sumbangan kepada pembangunan ekosistem digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM R&D diiktiraf atas sumbangan kepada pembangunan ekosistem digital

Dr. Sharlene Thiagarajah menerima anugerah daripada Datuk Seri Mohammad Mentek pada Majlis Anugerah Industri Ekonomi Digital Malaysia 2022 anjuran MDEC.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Julai - Telekom Research & Development Sdn Bhd (TM R&D) baru-baru ini menerima anugerah ‘Data Sharing Technology Excellence’ sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya sebagai rakan kongsi kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam mengembangkan ekosistem data di Malaysia.

 

Pengiktirafan itu diberikan di Majlis Anugerah Industri Ekonomi Digital Malaysia 2022 yang julung kali dianjurkan oleh MDEC, bagi menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kepada pemain industri yang telah menyokong agensi tersebut serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem digital.

 

Dalam majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah menerima anugerah tersebut daripada Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek.

 

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Dr. Sharlene berkata, pengiktirafan ini mengukuhkan lagi usaha-usaha mereka dalam membangunkan ekosistem digital untuk memudahkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup yang lebih digital. 

 

"Ini adalah saat yang membanggakan bagi kami di TM R&D dan kami berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan MDEC dan agensi-agensi lain dengan matlamat yang sama, menyumbang kepakaran kami untuk mempercepatkan penggunaan teknologi data dan memudahkan pembangunan bakat serta kerjasama industri-akademik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pada tahun 2020, TM R&D dilantik sebagai Rakan Teknologi Data MDEC di bawah Program Perkongsian Teknologi Data. 

 

Pelantikan ini membolehkan TM R&D untuk bekerjasama dengan MDEC dan perusahaan dalam pelbagai aktiviti bersama, memanfaatkan kepakaran dan keupayaan teras masing-masing untuk mempercepatkan penggunaan teknologi data di kalangan perniagaan ke arah meningkatkan ekonomi digital Malaysia.

 

TM R&D dan MDEC juga bergabung tenaga untuk melancarkan platform pertukaran data sehenti di bawah inisiatif #DigitalVsCovid MDEC untuk memudahkan dan mempercepatkan perkongsian data. 

 

Matlamatnya adalah untuk meningkatkan usaha penyelidikan dalam memerangi COVID-19. Pembangunan Platform Pertukaran Data adalah antara inisiatif yang bertujuan untuk mempercepatkan akses kepada data untuk pemaju, pelajar, saintis dan pengamal perubatan serta agensi kerajaan. 

 

Ini akan membantu mereka mengumpulkan pandangan baharu dengan mudah mengenai pandemik ini dan, akhirnya, membuka jalan untuk kejayaan yang lebih besar.

 

Platform Pertukaran Data ini telah dibina di atas Platform Inovasi Terbuka (OIP) TM R&D, Platform Pembangunan Perisian Terbuka pertama di Malaysia. 

 

Ia terdiri daripada platform pembrokeran data, Aplikasi Antaramuka Pengaturcaraan (API) dan ekosistem menyeluruh (e2e) untuk pembangunan pesat perkhidmatan Revolusi Perindustrian ke-4 (IR4.0) yang lebih pintar membolehkan penciptaan perkhidmatan baharu peluang pendapatan. - DagangNews.com