TM One pacu inovasi sektor kesihatan menerusi 5G, penyelesaian digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM One pacu inovasi sektor kesihatan menerusi 5G, penyelesaian digital

Wakil-wakil TM One dan Siemens Healthineers
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awam Telekom Malaysia Berhad (TM), TM One baru-baru ini telah mempamerkan masa depan inovatif sektor kesihatan di Malaysia, yang dikuasakan teknologi 5G dan penyelesaian digital.

 

TM One telah berkongsi visinya di acara 5G in Healthcare Symposium yang julung kali diadakan anjuran Association of Private Hospitals Malaysia (APHM), yang mana inovasi masa hadapan untuk sistem kesihatan yang direalisasikan menerusi sambungan 5G, telah dipamerkan dengan kolaborasi bersama Siemens Healthineers Malaysia.

 

Perhimpunan wakil-wakil penyedia perkhidmatan kesihatan itu telah menampilkan pelbagai manfaat yang dapat diperoleh daripada transformasi digital sektor tersebut, termasuklah penjagaan pesakit yang lebih mampan dan kecekapan operasi. 

 

Pendigitalan sektor penting itu juga adalah tepat pada masanya dan efektif dalam menawarkan khidmat penjagaan kesihatan semasa dan selepas pandemik.

 

Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, 5G akan memberikan impak positif kepada Internet of Medical Things (IoMT), dan akan membawakan inovasi perubatan yang diperlukan oleh masyarakat pasca-pandemik. 

 

"Ini termasuklah antara lainnya pembelajaran perubatan dan pemantauan pesakit jarak jauh. Bersama-sama rakan usaha sama kami, termasuk syarikat teknologi global serta syarikat tempatan terkemuka, kami bersedia untuk membantu hospital-hospital swasta di Malaysia mencipta penyelesaian yang akan menyelamatkan nyawa dan memberi nilai kepada pihak-pihak berkepentingan.

 

“Selain kelajuan masa nyata dan sambungan yang mampan, ekosistem institusi kesihatan digital hari ini memerlukan infrastruktur yang teguh dan selamat. Pengumpulan dan perkongsian rekod digital pesakit dan data hospital memerlukan keselamatan data bertaraf dunia untuk mengelakkan ancaman siber dan memastikan ianya mematuhi peraturan kawal selia yang ketat. 

 

 

tm
Datuk Dr Kuljit Singh ketika menyampaikan ucapan pada 5G in Healthcare Symposium

 

 

tm
Konsep Siemens Healthineers Cinematic Rendering yang dikuasakan oleh TM One

 

 

"Perkhidmatan TM One boleh disepadukan dengan rangkaian 5G persendirian serta menawarkan perlindungan dan penyulitan data yang dipertingkatkan untuk melindungi data pesakit dan hospital. Ini akan menggalakkan pesakit untuk menerima pakai perkhidmatan kesihatan digital, yang berpotensi membolehkan mereka mendapatkan rawatan lebih awal dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

 

Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh pula berkata, simposium tersebut merupakan platform yang baik untuk rakan-rakan usaha samanya, TM One dan Siemens Healthineers berkongsi masa depan institusi kesihatan swasta di Malaysia, dengan memberikan panduan bagaimana untuk menambah baik hospital melalui 5G. 

 

"Perkongsian ini amat berharga kepada para peserta simposium. Kehadiran para pemimpin digital yang dihormati ini memberikan idea yang lebih jelas kepada industri tentang cara mereka boleh mengubah institusi mereka. 

 

 

tm
Rod Frazer menyampaikan ucapan pada deligasi yang hadir di 5G in Healthcare Symposium

 

 

tm

 

 

"Kami amat teruja dengan potensi yang ditawarkan oleh teknologi 5G dan yakin dengan sokongan pakar yang ditawarkan oleh rakan-rakan kongsi ketika industri meneruskan perjalanan transformasi digital untuk memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada para pesakit," katanya.

 

Pengarah Urusan Siemens Healthineers di Malaysia, Rod Frazer berkata, peluang untuk menghimpunkan data kesihatan dan memanfaatkannya untuk menyokong pesakit dan petugas kesihatan dalam membuat keputusan seharian adalah perubahan besar dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan dan keberkesanan kos. 

 

"Untuk membentuk masa depan ini, adalah penting untuk bukan sahaja membuahkan idea yang akan mengubah cara pemikiran kita berkenaan sektor kesihatan dalam tempoh jangka panjang, tetapi juga mengenalpasti perkembangan terkini seperti sambungan 5G, yang berpotensi untuk mengubah pasaran," katanya. - DagangNews.com