Tiga faktor masih membayangi prospek sektor hartanah, AmInvestment mungkin turunkan penilaian kepada 'neutral' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiga faktor masih membayangi prospek sektor hartanah, AmInvestment mungkin turunkan penilaian kepada 'neutral'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Dis - Persekitaran kadar faedah yang kembali normal pada 2023 akan membantu meningkatkan semula prospek yang lebih baik bagi sektor hartanah meskipun ia menjejaskan sentimen pengguna. 

 

Penganalisis AmInvestment Bank Research, Khoo Zing Sheng berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada mesyuaratnya Januari ini, menjadikan kadar itu kepada 3%, iaitu paras sebelum pandemik COVID-19. 

 

Berdasarkan analisis sensitiviti yang dijalankannya didapati ansuran bulanan untuk hartanah yang dibeli pada harga RM500,000 dengan 90% pembiayaan pinjaman akan meningkat sebanyak RM66 hingga RM69 atau 3.3 hingga 3.5% bagi setiap kenaikan 25 mata atas.

 

"Walaupun kenaikan kadar faedah akan melemahkan sentimen pengguna, namun, kami percaya Malaysia akan mencapai penghujung kitaran kenaikan kadar. 

 

"Di samping itu, sentimen pengguna yang lebih lemah boleh dapat dikurangkan dengan pertumbuhan ekonomi yang masih kukuh dan prospek pekerjaan berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Selain kenaikan kadar faedah, sektor hartanah juga berdepan dengan masalah kekurangan tenaga buruh dan harga bahan binaan.

 

Bagaimanapun, buat masa ini, AmInvestment mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor ini dengan risiko penurunan kepada 'neutral' sekiranya situasi tersebut semakin memburukkan keadaan. 

 

Firma itu berpendapat penilaian semasa yang tertekan telah pun dinilai dalam aliran menurun bermula sejak awal April lalu. 

 

Menurut Zing Sheng, sebahagian besar kos bahan binaan telah mencapai kemuncaknya pada suku kedua 2022 berikutan kelonggaran gangguan rantaian bekalan, ditambah dengan pengetatan dasar monetari oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

 

Harga keluli di Semenanjung Malaysia merosot 28% kepada RM3,132 satu tan metrik pada Oktober daripada paras tertinggi RM4,344 satu tan metrik pada Apr/Mei 2022.

 

"Dengan kos bahan binaan yang semakin stabil ini, kami percaya pemaju akan meningkatkan pelancaran hartanah baharu mereka pada 2023 berbanding 2022," jelasnya. 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, kebanyakan pemaju juga menjangkakan masalah kekurangan buruh akan mereda pada 2023 apabila kemasukan pekerja diambil secara berperingkat-peringkat.

 

Setakat awal Disember 2022, terdapat sejumlah 1.4 juta pekerja asing dengan pas kerja sementara di Malaysia. Sebelum pandemik, jumlah pekerja asing di Malaysia mencecah 1.8 juta orang.

 

Mulai 1 Januari hingga 4 Disember 2022, Jabatan Imigresen Malaysia meluluskan 373,459 daripada 403,869 permohonan untuk membawa masuk pekerja asing melalui visa dengan rujukan dan baki 30,410 permohonan sedang diproses.

 

Secara keseluruhan, Zing Cheng mendapati risiko utama kepada sektor ini masih dipengaruhi stagflasi yang boleh membawa kepada pengangguran yang lebih tinggi di samping kenaikan inflasi lebih cepat menjejaskan permintaan hartanah.

 

"Selain itu, kemunculan gelombang baharu COVID-19 dan gangguan rantaian bekalan yang lebih lama atau semakin buruk akan memberi kesan kepada usaha pemulihan ekonomi dan mengetatkan lagi kos bahan binaan," jelasnya. - DagangNews.com