Tiga faktor bantu Dayang kekalkan prestasi mantap pada suku ketiga ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiga faktor bantu Dayang kekalkan prestasi mantap pada suku ketiga ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Dayang Enterprise Holding Bhd. akan mengekalkan prestasi mantap pada suku ketiga ini berdasarkan kontrak kerja yang diperolehnya semakin meningkat. 

 

Turut menyokong prestasi kumpulan yang lebih baik pada suku berkenaan termasuklah pengurangan perbelanjaan pematuhan COVID-19 dan peningkatan unjuran kadar penggunaan kapal untuk Perdana Petroleum bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

Menurut firma itu, langkah kumpulan untuk memberi tumpuan bagi memulihkan Perdana Petroleum yang merupakan syarikat pegangan 63.7% miliknya (pada asasnya merupakan segmen perniagaan sewaan marin/OSV) pada FY22, dilihat sebagai strategi yang positif.

 

"Setakat akhir Jun 2022, nilai kontrak Dayang mencecah RM1.7 bilion (berbanding RM1.8 bilion pada akhir Mac 2022). Penggearan bersih kumpulan pada 0.1 kali, bagi kami adalah baik," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dayang mencatat untung bersih sebanyak RM42.02 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding kerugian bersih RM21.89 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan bagi tempoh itu meningkat kepada RM263.41 juta daripada RM159.59 juta.

 


Baca : Dayang catat untung RM42.02 juta pada 2Q, jangka kekalkan momentum pada suku berikutnya

 

 

Peningkatan pendapatan pada suku semasa terutamanya disumbangkan menerusi pemulihan ekonomi daripada pandemik didorong kejayaan kadar vaksinasi, penarikan semula sekatan pergerakan dan kenaikan harga minyak.

 

Ini menyaksikan pendapatan bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 meningkat 74% kepada RM423.5 juta berbanding RM243.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan turut merekodkan untung bersih sebanyak RM55.78 juta pada tempoh itu berbanding kerugian bersih RM49.43 juta. 

 

Menurut HLIB, prestasi pada separuh pertama memenuhi unjurannya dan konsensus masing-masing pada 83% dan 76% daripada unjuran tahunan penuh berikutan arahan kerja yang lebih baik daripada jangkaan menerusi segmen penyelenggaraan dan peningkatan kadar penggunaan kapal bagi segmen OSV. 

 

"Oleh itu, kami menaikkan unjuran pendapatan bagi FY22 sebanyak 39% selepas mengambil kira anggaran margin keuntungan yang lebih tinggi bagi segmen penyelenggaran tahun ini. Namun, anggaran FY23 hingga FY24 tidak berubah," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Dayang dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.19 sesaham. 

 

Setakat 9.53 pagi ini, harga sahamnya menokok 5 sen atau 5.05% kepada RM1.04 dengan 5.99 juta saham diniagakan. - DagangNews.com