KUALA LUMPUR 19 Julai - Tiada sebarang syarat yang ditetapkan untuk memansuhkan sistem sedia ada yang digunakan Malaysia bagi pengambilan pekerja asing Indonesia dalam perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara berhubung pengambilan dan perlindungan pekerja negara itu, April lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, apa yang dinyatakan dalam MoU itu adalah menggunakan sistem sedia ada di Indonesia dalam pengambilan pekerja asing, namun ia tidak mensyaratkan Malaysia memansuhkan sistem yang digunakan di negara ini.
"Semalam, kita sudah adakan perbincangan dengan pihak Indonesia dan bersetuju supaya kita akan integrasikan sistem sedia ada dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sistem yang digunakan Indonesia," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau menjawab soalan tambahan Loke Siew Fook (PH-Seremban) adakah benar antara syarat dalam perjanjian persefahaman (MoU) berkenaan adalah pemansuhan sistem "Maid Online" kerana jika benar, adakah kerajaan mengambil langkah memansuhkan sistem itu. - DagangNews.com








