Think City peruntuk RM10 juta tingkatkan pembangunan ekonomi berasaskan budaya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Think City peruntuk RM10 juta tingkatkan pembangunan ekonomi berasaskan budaya

Stesen Keretapi Malaysia tertua di Taiping, Perak.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 April - Think City Sdn Bhd (Think City) mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi mempertingkat pembangunan ekonomi berasaskan budaya di wilayah utara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF), sebagai sebahagian daripada inisiatif Bajet 2022. 

 

Program Geran Pemangkin Ekonomi Budaya akan memanfaat warisan arkeologi Malaysia sebagai salah satu pemboleh pertumbuhan sosio-ekonomi. Ia juga bakal menyumbang kepada pembangunan semula modal budaya, ekonomi dan sosial masyarakat untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan. 

 

Ini adalah selaras dengan objektif Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara & Program Pembangunan Ekonomi Tempatan, inisiatif Think City, di bawah naungan MoF.

 

Kemungkinan penemuan baharu dan peluang untuk mempamerkan tapak bersejarah ini bakal memberi fokus awal kepada Lenggong, Kuala Kangsar dan Taiping.

 

Menyedari kepentingan wilayah ini, usaha Think City dan MoF dengan sokongan kerajaan negeri dan majlis tempatan bakal menggalakkan penerokaan dan penemuan tapak arkeologi di sepanjang koridor kebudayaan Malaysia utara. 

 

Ia juga bakal mengaktifkan sumber pembangunan komuniti tempatan, berasaskan budaya, pelancongan, perusahaan komuniti, minat awam dan meningkatkan arkeopelancongan Malaysia.

 

Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed berkata, wilayah utara Malaysia berpotensi untuk menjadi sebuah kawasan yang kaya dengan aset semula jadi serta budaya, untuk terus berkembang sebagai destinasi utama dari segi kelestarian budaya.

 

“Pembangunan Ekonomi Berasaskan Budaya adalah salah satu fokus utama Think City. Kami yakin pelaburan dalam warisan arkeologi akan menarik perhatian orang ramai dan pihak berkepentingan untuk menyertai pelbagai aktiviti di koridor kebudayaan Malaysia utara. 

 

 

thinkcity
Pembentukan batu suevite di lokasi hentaman meteorit  1.87 juta tahun lalu di Lenggong, Perak.

 

 

"Think City telah mengenalpasti titik berpotensi untuk mempertingkatkan pengalaman berasaskan budaya di wilayah utara Malaysia ini. Di samping itu, melalui Program Geran Pemangkin Ekonomi Budaya, Think City juga akan memberi sokongan kepada penerima manfaat geran agar mereka dapat mendalami dan mempelbagaikan pengalaman pengunjung bagi memperluaskan pemahaman awam tentang kepentingan budaya," katanya dalam satu kenyataan.

 

Katanya, matlamat mereka adalah untuk memperkasa komuniti agar mereka terus berbangga dengan sejarah yang dikongsi bersama yang bakal diterjemahkan kepada aspek sosial, ekologi dan kewangan untuk generasi akan datang.

 

 

thinkcity
Usahawan tempatan membuat kuih bahulu menggunakan kaedah tradisional.

 

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi pula berkata, aset budaya unik wilayah utara boleh dimanfaat untuk mewujudkan kesan ‘multiplier’ sosio-ekonomi. 

 

Beliau berkata, ia termasuk monumen warisan mercu tanda, seni bina sejarah, adat tradisi, perdagangan, tapak arkeologi, dan biodiversiti yang kaya serta kepelbagaian budaya untuk memberi manfaat kepada masyarakat setempat

.

“Usaha ini akan merangsangkan pelancongan di wilayah ini, memberi peluang kepada projek berasaskan komuniti dan pengusaha kecil untuk berjaya dan menyumbang kepada pelancongan tempatan,” katanya.

 

Program yang bermula dari 11 April 2022, menawarkan geran untuk individu, kumpulan kolektif dan organisasi dalam pelbagai sektor. Di antaranya adalah organisasi berasaskan warisan, perniagaan artisan tempatan, rumah inap, budaya makanan, penerbitan, serta pemulihan bangunan tradisional dan bersejarah. 

 

Permohonan geran bakal ditutup pada 22 Mei 2022. Untuk maklumat lanjut mengenai geran ini, sila zlayari: https://www.thinkcity.com.my/budaya. - DagangNews.com