KUALA LUMPUR 18 Jun - Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini semakin mendapat perhatian pelabur asing, terutama dari Jepun, Korea Selatan, China dan Eropah, sekali gus memperlihatkan peranan Johor sebagai pintu masuk penting ke pasaran ASEAN.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, banyak pertanyaan pelaburan diterima oleh Pusat Pemudahcara Pelaburan Johor (IMFC) daripada negara-negara tersebut.
Katanya, ia menandakan Johor semakin dikenali sebagai kawasan yang berpotensi untuk pertumbuhan ekonomi serantau.
"Ini satu perkembangan yang baik, bukan sahaja untuk Johor tetapi juga Malaysia secara keseluruhan.
"Dalam situasi dunia yang tidak menentu, ASEAN dilihat sebagai tempat yang menarik untuk pelaburan," katanya selepas menjadi panel dalam Forum Nikkei Medini 2025, seperti laporan Bernama.
Beliau berkata pelabur Jepun menunjukkan minat dalam sektor elektrik dan elektronik, perkhidmatan kewangan, teknologi serta ekonomi digital.
Beliau berkata, walaupun belum boleh mendedahkan nama syarikat, beberapa syarikat Jepun telah memohon untuk bertemu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai bukti minat yang serius.
"Kami juga menerima pertanyaan daripada bank Jepun seperti Mizuho Bank dan Sumitomo Mitsui Banking Corporation yang membantu pelanggan mereka mendapatkan maklumat lanjut," jelasnya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, Medini sudah bersedia menerima pelabur baharu kerana mempunyai kemudahan lengkap dan suasana mesra perniagaan.
"Model pembangunan 'plug and play' di Medini membolehkan pelabur terus memulakan operasi kerana tanah, bekalan elektrik, air, internet dan kemudahan lain sudah sedia ada," katanya.
Beliau berkata, hampir 40 syarikat antarabangsa telah beroperasi di Medini dan sedang berkembang, ketika IIB bertindak sebagai rakan yang membantu pertumbuhan perniagaan.
Idzham turut menyatakan, Medini menawarkan kualiti hidup yang baik dengan kemudahan seperti taman, padang golf, Legoland dan Zoo Johor yang telah dinaik taraf, sesuai untuk pelbagai gaya hidup dan lapisan masyarakat.
Mengulas ketidaktentuan global dan semakan semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura kepada 0.2%, beliau mengakui ada pelabur yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat, namun percaya ia hanya bersifat sementara.
"ASEAN masih antara rantau yang paling pesat berkembang di dunia, dengan 50% hingga 60% penduduk terdiri daripada golongan muda," ujarnya.
Tambah beliau, Johor dan Singapura mempunyai kelebihan dari segi lokasi, kestabilan politik dan bebas bencana alam, menjadikannya tempat yang sesuai untuk pelaburan. - DagangNews.com








