Zetrix AI, JAKIM bangunkan platform AI, persiapan depani ekonomi digital Islam bernilai RM24 trilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zetrix AI, JAKIM bangunkan platform AI, persiapan depani ekonomi digital Islam bernilai RM24 trilion

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Sept – Zetrix AI Bhd, pencipta model kecerdasan buatan (AI) patuh syariah pertama di dunia, NurAI, mengumumkan kerjasama strategik bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membangunkan platform AI yang menyokong proses pengeluaran fatwa, pensijilan halal dan nasihat Syariah.

 

Kerjasama itu bukan sahaja memfokuskan kepada pemerkasaan sistem pentadbiran Islam tempatan, malah disasarkan untuk membentuk piawaian global bagi AI patuh Syariah, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai hab utama dalam pembangunan AI Islamik.

 

Zetrix AI dalam kenyataan hari ini memberitahu, untuk tujuan itu pada 13 September lalu syarikat berkenaan menandatangani Surat Hasrat (LOI) bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). 

 

 

 

 

 

 

"Kerjasama ini bukan sekadar pemindahan teknologi, tetapi satu usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital Islam yang dijangka mencecah AS$5.74 trilion (RM24.06 trilion) menjelang 2030," kata kenyataan itu.

 

Antara objektif utama kerjasama ini termasuk mewujudkan garis panduan etika AI berasaskan prinsip Syariah dan menyediakan sistem pensijilan AI patuh Syariah.

 

Kerjasama ini juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai rujukan global dalam pembangunan dan penggunaan AI Islamik serta menyokong agenda pendigitalan sektor halal dan Syariah secara menyeluruh.

 

Dengan inisiatif ini, Malaysia bukan sahaja mengukuhkan kepimpinan dalam ekosistem halal, tetapi juga mengorak langkah ke hadapan dalam membentuk norma baharu AI yang adil, beretika dan sejajar dengan prinsip Islam.

 

Pengarah Zetrix AI, Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah berkata, kolaborasi ini memastikan NurAI bukan sahaja canggih dari segi teknologi, tetapi juga berakar umbi dalam nilai etika dan budaya negara.

 

Beliau menambah, kerjasama erat antara kerajaan, JAKIM dan sektor swasta akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri halal global melalui perluasan ke sektor ekonomi digital terutamanya dalam bidang kewangan Islam, pendidikan dan perundangan.

 

Model AI NurAI dibangunkan sepenuhnya di Malaysia menggunakan teknologi DeepSeek, menyokong pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, Indonesia, Inggeris dan Arab. 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ia dibina berasaskan prinsip pematuhan terhadap dasar kedaulatan data negara, keselamatan siber dan pengurangan kebergantungan kepada teknologi asing.

 

Ciri ini menjadikan NurAI sebagai model AI yang selamat, boleh dipercayai dan menepati nilai tempatan serta Islamik, berbeza daripada model AI generik sedia ada.- DagangNews.com