YTL Cement tingkatkan pegangan dalam Concrete Engineering kepada 70.22% selepas tawaran am mandatori | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YTL Cement tingkatkan pegangan dalam Concrete Engineering kepada 70.22% selepas tawaran am mandatori

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Mei – YTL Cement Bhd meningkatkan pegangan dalam Concrete Engineering Products Bhd (CEPCO) kepada 70.22% selepas tawaran am mandatori (MGO) syarikat itu ditutup pada 13 Mei 2026.

 

CIMB Investment Bank berkata, unit bahan binaan milik YTL Corporation Bhd itu menerima 12.49 juta saham atau 16.73% menerusi MGO yang meningkatkan pegangan dalam CEPCO daripada 53.49% kepada 70.22%, bersamaan 52.4 juta saham.

 

MGO tersebut dilaksanakan selepas YTL Cement muncul sebagai pemegang saham utama CEPCO menerusi pembelian 32.93 juta saham atau 53.49% pegangan pada nilai RM103.79 juta sebelum ini.

 

Pada 1 April lalu, YTL Cement mengumumkan tawaran untuk mengambil alih baki saham CEPCO yang belum dimilikinya pada harga RM2.60 sesaham.

 

CEPCO terlibat dalam pembuatan dan penjualan cerucuk serta tiang konkrit prategasan yang digunakan secara meluas dalam projek infrastruktur, pembinaan dan utiliti di Asia, Afrika, Oceania serta rantau Teluk.

 

Syarikat itu juga merupakan antara pembekal utama komponen konkrit pratuang untuk sektor pembinaan berat di rantau ini.

 

YTL Cement sebelum ini memaklumkan ia berhasrat mengekalkan status penyenaraian CEPCO di Pasaran Utama Bursa Malaysia walaupun selepas MGO selesai.

 

Dari sudut pasaran, saham CEPCO ditutup naik satu sen atau 0.38% kepada RM2.61 pada 13 Mei 2026 memberikan syarikat itu permodalan pasaran sekitar RM195 juta.

 

Sejak pelancaran MGO, saham CEPCO meningkat kira-kira 40%, manakala setakat tahun ini saham syarikat itu telah melonjak lebih dua kali ganda daripada paras RM1.08.- DagangNews.com