KUALA LUMPUR 2 Julai - Yinson Holdings Berhad diyakini mencatatkan prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26) didorong peningkatan keuntungan daripada kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) terbaharu miliknya – FPSO Agogo – yang telah dihantar ke Angola, kata penganalisis.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, FPSO Agogo dijangka mencapai pengeluaran minyak pertama pada Ogos ini dan Yinson berkemungkinan layak menerima bayaran “bonus” pada 2HFY26, yang boleh meningkatkan keuntungannya.
“Kejayaan sambungan dan pengeluaran minyak pertama FPSO Agogo akan menjadi pemangkin kerana Yinson akan mengurangkan risiko berkaitan dengan pembinaan, pelaksanaan, lebihan kos dan risiko penghantaran. Aliran tunai tambahan selepas kadar pajakan FPSO Agogo akan membantu dalam mengurangkan hutang projek.
"Selain itu, sebarang kontrak FPSO baharu akan menjadi positif, sekiranya pembayaran pendahuluan oleh pelanggan akhir mencukupi untuk meringankan kedudukan kunci kira-kira Yinson,” katanya dalam satu nota kajian.
Yinson mencatat keuntungan bersih teras sebanyak RM126 juta 1QFY26 dan mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak dua sen sesaham.
Pendapatan Yinson bagi 1QFY26 berjumlah RM1.23 bilion, menurun sebanyak 44% berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh hasil yang lebih rendah daripada aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) untuk FPSO.
Menurut Kenanga Research, berdasarkan taklimat keputusan kewangan Yinson, syarikat itu menyasarkan untuk memenangi satu projek FPSO utama pada FY26 dengan kumpulan itu juga semakin hampir untuk meraih projek FPSO baharu untuk Kikeh dan Nigeria.
Perbelanjaan modal yang dijangkakan untuk kedua-dua projek itu dianggarkan sekitar AS$1 bilion setiap satu.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun tidak menjangka Yinson akan membuat panggilan tunai ekuiti bagi FY26 walaupun syarikat itu memenangi projek besar lain, memandangkan kumpulan baru-baru ini berjaya mengumpul AS$1 bilion daripada beberapa pelabur.
Dana itu memberikan Yinson sumber kewangan yang mencukupi untuk memulakan proses penukaran bagi projek baharu yang berpotensi, menurut Kenanga.- DagangNews.com








