Willowglen MSC raih kontrak RM6.75 juta daripada TNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Willowglen MSC raih kontrak RM6.75 juta daripada TNB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov – Willowglen MSC Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Willowglen (Malaysia) Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM6.75 juta oleh Tenaga Nasional Berhad bagi melaksanakan bekalan, pemasangan dan kerja jarak jauh Dual Sim Router.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Willowglen berkata, kontrak yang bermula pada 21 November 2025 itu dijangka siap sepenuhnya pada 20 April 2028.

 

“Kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan Kumpulan serta aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 hingga 2028.

 

“Kontrak tersebut tidak boleh diperbaharui dan risiko yang terlibat adalah risiko perniagaan biasa,” kata Willowglen MSC.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak baharu ini.

 

Pada akhir Ogos lalu, penyedia sistem automasi industri, telemetri dan kawalan penyeliaan itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Willowglen Services Pte Ltd memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM86.5 juta daripada Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura.

 

Kontrak yang dianugerahkan pada 18 Ogos 2025 itu merangkumi kerja-kerja penggantian sistem trafik dan komunikasi bagi rangkaian lebuh raya di Singapura. 

 

Projek berkenaan bermula serta-merta dan dijangka siap pada 2 Julai 2029.

 

Dengan kontrak terbaharu daripada TNB ini, dijangka terus mengukuhkan kedudukan Willowglen sebagai penyedia penyelesaian automasi dan sistem kawalan terpadu dalam sektor utiliti negara. - DagangNews.com