Wide Agro Ventures, Orec Co dari Jepun bina kilang jentera pertanian RM30 juta di Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wide Agro Ventures, Orec Co dari Jepun bina kilang jentera pertanian RM30 juta di Perak

Gambar/FB WIDE AGRO

KUALA LUMPUR 20 Jun - Syarikat tempatan, Wide Agro Ventures Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Orec Co Ltd dari Jepun, bagi membina sebuah kilang dan pusat edaran jentera pertanian di Taman Perindustrian Seri Iskandar, Perak dengan pelaburan permulaan sebanyak RM30 juta.

 

Kerjasama itu dijangka membantu meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sektor pertanian Malaysia, terutamanya dalam industri kelapa sawit, dalam beberapa tahun akan datang.

 

Orec akan membekalkan teknologi moden kepada Wide Agro Ventures untuk menghasilkan dan mengedarkan jentera serta peralatan pertanian bagi pasaran tempatan dan serantau. 

 

Usaha tersebut juga dijangka mengukuhkan kedudukan kedua-dua syarikat dalam industri jentera pertanian di peringkat antarabangsa.

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Perak adalah negeri yang subur dan aktif dalam pertanian, terutama kelapa sawit, getah dan padi.

 

"Sektor pertanian menyumbang 14.2% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri dan sangat penting untuk keselamatan makanan dan eksport negara. 

 

"Dengan pengeluaran jentera dan peralatan moden, sumbangan sektor ini boleh ditingkatkan lagi melalui kecekapan dan produktiviti yang lebih baik," katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed seperti laporan The Sun.

 

Beliau berkata demikian pada acara pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan di Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun.

 

Antara yang hadir adalah pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar, InvestPerak dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, berkata, kerjasama itu dibuat tepat pada masanya kerana ia dapat mengukuhkan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan jentera pertanian.

 

"Kilang di Seri Iskandar akan menjadi lokasi penting dalam sektor ini. Ia akan membantu pertumbuhan industri, pemindahan teknologi dan meningkatkan keupayaan eksport. 

 

"Ia juga membuka peluang kepada bakat tempatan, perniagaan dan masyarakat setempat untuk berkembang," jelasnya.

 

Beliau menambah, lokasi Seri Iskandar juga sangat strategik dan seiring dengan usaha negara untuk mempercepat penggunaan mesin dan teknologi digital dalam sektor pertanian.

 

"Ia juga selaras dengan usaha Malaysia untuk muncul sebagai pusat pembuatan jentera pertanian berteknologi tinggi di rantau ini," ujarnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wide Agro Ventures, Ahmad Fadzil Mustafa berkata, pelaburan tersebut merupakan pencapaian penting bagi syarikat dalam usaha membangunkan industri tempatan.

 

"Dengan memperluas pengeluaran di Perak, kami bukan saja menunjukkan komitmen untuk membangunkan industri tempatan, tetapi juga berusaha menyediakan rumusan pertanian yang moden, ringan dan lestari di seluruh rantau ini bersama rakan kami dari Jepun," katanya. - DagangNews.com