Widad jual bangunan RM41.5 juta kepada Richfield Builder untuk bayar hutang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Widad jual bangunan RM41.5 juta kepada Richfield Builder untuk bayar hutang

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 April - Widad Group Bhd, yang mencatatkan kerugian, menjual sebuah bangunan pejabat 12 tingkat miliknya di Damansara Heights, Kuala Lumpur pada harga RM41.5 juta secara tunai, dalam usaha mengurangkan beban hutang syarikat.

 

Widad memaklumkan, anak syarikat milik penuhnya, Widad Builders Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Richfield Builder (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd.

 

Katanya, bangunan yang berusia 28 tahun itu mempunyai enam tingkat tempat letak kereta dan terletak di atas tanah berkeluasan 1,607.73 meter persegi. 

 

Ia mempunyai pajakan selama 99 tahun yang akan tamat pada 30 Januari 2073. 

 

Nilai buku bersih teraudit hartanah itu setakat 31 Disember 2023 adalah sebanyak RM39.69 juta.

 

Jelas syarikat, hasil jualan akan digunakan untuk membayar balik pinjaman berkaitan hartanah tersebut serta sebagai dana bagi keperluan modal kerja. 

 

“Syarikat dijangka menanggung kerugian sebanyak RM1.2 juta daripada penjualan ini, yang akan mengurangkan aset ketara bersih (NTA). 

 

"Bagaimanapun, kadar hutang syarikat dijangka bertambah baik apabila pinjaman berjumlah RM40 juta dapat diselesaikan,” menurut Widad dalam makluman di Bursa Malaysia. - DagangNews.com