Westports dipercayai mampu hadapi cabaran perdagangan global, kata Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Westports dipercayai mampu hadapi cabaran perdagangan global, kata Kenanga

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 1 Julai – Westports Holdings Bhd dipercayai mampu mengharungi cabaran perdagangan global, disokong aliran pengalihan perdagangan dan keupayaan operasi pelabuhan yang kukuh, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan caj penyimpanan kontena dan perubahan laluan kapal susulan ketegangan di Asia Barat dijangka membantu Westports mengurus kesesakan limbungan dengan lebih cekap.

 

Prestasi kewangan yang stabil serta kontrak jangka panjang dengan pelanggan utama seperti Ocean Alliance turut mendorong firma itu menaik taraf saranan saham daripada market perform kepada outperform.

 

Kenanga Research turut menaikkan unjuran keuntungan bersih Westports sebanyak 2% bagi tahun ini dan 4% untuk tahun hadapan. 

 

Prospek pertumbuhan jangka panjang Westports dipacu projek pengembangan Westports 2 serta daya saing harga melalui kadar pemindahan kontena yang lebih rendah berbanding pesaing seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor dan Pelabuhan Singapura.

 

Bagi pemindahan kargo, kadar baharu akan dirunding secara kontrak dan dilaksanakan secara berperingkat antara satu hingga dua tahun.

 

Sementara itu, peningkatan kos elektrik yang berkuat kuasa bulan ini dijangka meningkatkan bil tenaga Westports sekitar 10%.

 

Berdasarkan perbelanjaan elektrik RM54 juta pada tahun lalu, peningkatan 10% bersamaan RM5.4 juta, iaitu kurang daripada 1% daripada keuntungan tahunan syarikat.

 

Harga bahan api perbelanjaan ketiga terbesar syarikat turut berisiko meningkat susulan ketegangan di Asia Barat.

 

Kenanga Research turut menjangkakan perlaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluas akan memberi impak kecil sekitar RM2 juta hingga RM3 juta, khususnya berkaitan aktiviti vendor syarikat.- DagangNews.com