Wentel Engineering yakin terima manfaat daripada perang perdagangan AS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wentel Engineering yakin terima manfaat daripada perang perdagangan AS

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 19 Jun – Wentel Engineering Holdings Bhd dijangka meraih manfaat daripada ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan optimis terhadap pertumbuhan hasil bagi tahun kewangan 2025 (FY25).

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chuah Chong Syn berkata, dasar perdagangan AS yang lebih ketat mendorong kerajaan memperkukuh protokol pemeriksaan import dan pematuhan peraturan, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap mesin pengimbas keselamatan dan peralatan berkaitan.

 

"Meskipun ketidaktentuan semasa, tarif AS memberikan unjuran pertumbuhan positif pada 2025 dan menyokong permintaan berterusan terhadap perkhidmatan kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Wentel Engineering terlibat dalam pembuatan komponen dan perumah logam untuk peralatan pemeriksaan keselamatan, mesin pemotong berkomputer, peralatan pembuatan semikonduktor serta alat diagnostik perubatan.

 

Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, hampir dua pertiga daripada hasil syarikat disumbang oleh pelanggan dalam industri keselamatan, diikuti industri elektrik dan elektronik yang menyumbang kira-kira 22%.

 

Pangkalan utama pelanggan dalam industri elektrik dan elektronik permintaan dijangka kekal kukuh di Singapura.

 

Chuah berkata, output pembuatan elektronik negara itu meningkat 15.2% tahun ke tahun pada April 2025, dan momentum tersebut dijangka berterusan sepanjang tahun.

 

Syarikat turut menjangkakan margin keuntungan yang lebih tinggi hasil peningkatan permintaan terhadap komponen berketepatan tinggi, khususnya menerusi kontrak bernilai tinggi di Singapura.

 

Bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), keuntungan bersih melonjak lebih 10 kali ganda kepada RM6.11 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong peningkatan hasil sebanyak 21% serta ketiadaan kos penyenaraian sekali sahaja.

 

Saham Wentel ditutup tinggi 3.5% kepada 29.5 sen pada Rabu, dengan permodalan pasaran sekitar RM339 juta, selepas disenaraikan di Bursa Malaysia pada Februari tahun lalu.- DagangNews.com