Wawasan Dengkil peroleh subkontrak jalan, landskap bernilai RM24.8 juta daripada Gamuda Engineering | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wawasan Dengkil peroleh subkontrak jalan, landskap bernilai RM24.8 juta daripada Gamuda Engineering

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb – Wawasan Dengkil Holdings Berhad memperoleh subkontrak bernilai RM24.8 juta daripada Gamuda Engineering Sdn. Bhd bagi kerja-kerja membina dan menyiapkan jalan serta landskap untuk projek pusat data berskala besar di Eco Business Park V Puncak Alam, Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Wawasan Dengkil berkata kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Wawasan Dengkil Sdn. Bhd menerusi surat bertarikh 6 Februari 2026 yang diterima pada 13 Februari 2026.

 

“Kerja subkontrak tersebut dijadualkan bermula pada 15 Mei 2026 dengan sasaran siap Fasa 1 pada 1 Disember 2026, manakala Fasa 2 disasarkan siap pada 31 Mac 2027.

 

“Tarikh siap substantif pula ditetapkan pada 28 Februari 2027 bagi Fasa 1 dan 1 September 2027 bagi Fasa 2, selaras dengan keperluan yang ditetapkan di bawah kontrak utama projek berkenaan.

 

“Tempoh liabiliti kecacatan bagi subkontrak tersebut adalah selama 36 bulan untuk Fasa 1 dan 30 bulan bagi Fasa 2, bermula dari tarikh pengeluaran sijil siap substantif,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Dari segi kewangan, Wawasan Dengkil Holdings Berhad berkata penerimaan kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham serta kedudukan gearan syarikat sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

 

Syarikat turut memaklumkan bahawa penerimaan surat anugerah tersebut tidak memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan pemegang saham utama, selain tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia.

 

Lembaga pengarah Wawasan Dengkil menyatakan bahawa kontrak berkenaan adalah dalam urusan biasa perniagaan syarikat dan selepas menilai semua aspek berkaitan, penerimaannya adalah demi kepentingan terbaik syarikat.- DagangNews.com