Waja Konsortium mohon pengecualian dari GN3 dan rancangan regularisasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Waja Konsortium mohon pengecualian dari GN3 dan rancangan regularisasi

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 12 Mac - Waja Konsortium Bhd mengemukakan permohonan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk mendapatkan pengecualian daripada menyerahkan rancangan regularisasi yang dicadangkan serta untuk dikeluarkan daripada pengelasan Nota Panduan 3 (GN3).

 

Syarikat tersebut berkata, pada 11 Mac 2025, ia telah mengemukakan permohonan pengecualian kepada Bursa Securities untuk dibebaskan daripada keperluan menyerahkan rancangan regularisasi.

 

"Syarikat juga telah mengemukakan permohonan lanjutan masa (EOT) selama enam bulan iaitu dari 8 April 2025 hingga 7 Oktober 2025, bagi menyerahkan rancangan regularisasi sekiranya perlu," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pada 14 Februari 2025, Bursa Malaysia Securities menegur Waja Konsortium secara terbuka dan mengenakan denda sebanyak RM100,000 kepada dua pengarahnya kerana gagal mendedahkan status kewangan yang bermasalah dalam tempoh masa yang sepatutnya.

 

Waja diklasifikasikan sebagai syarikat GN3 susulan kerugian kewangan yang ketara, namun menangguhkan pengumuman status GN3 mereka selama hampir sebulan setengah selepas mengeluarkan laporan suku tahunan bertarikh 30 Jun 2023.

 

Pengumuman status GN3 hanya dibuat pada 10 Oktober 2023, selepas Bursa Malaysia campur tangan.

 

Bursa Malaysia meletakkan kesalahan itu ke atas Pengarah Urusan, Peh Lian Hwa dan Pengarah Eksekutif, Peh Jia Yau kerana gagal mendedahkan masalah kewangan yang dialami lebih awal walaupun telah diberi amaran serta peringatan daripada juruaudit.

 

Waja mencatatkan kerugian sebanyak RM44.03 juta untuk tempoh kewangan 18 bulan yang berakhir pada 30 Jun 2023, melebihi ekuiti pemegang sahamnya sebanyak RM37.20 juta.

 

Kerugian terkumpul sebanyak RM68.59 juta dalam dua tahun kewangan, turut menambah beban kewangan syarikat tersebut. - DagangNews.com