KUALA LUMPUR 24 Jan - Vsolar Group Bhd, melalui anak syarikatnya Vsolar Engineering Sdn Bhd (VESB), menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Fast Solar Sdn Bhd (FSSB) untuk memperoleh sistem fotovoltaik solar (PV) berkapasiti 1.3MW di Klang, Selangor, dengan nilai RM3 juta.
Pemerolehan itu selaras dengan strategi perniagaan jangka panjang Vsolar untuk mengukuhkan kedudukannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Pembelian tersebut akan dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman, tanpa sebarang liabiliti yang ditanggung oleh Vsolar.
Ia dijangka dapat meningkatkan pendapatan syarikat dan memberikan nilai mampan kepada pemegang saham dalam jangka sederhana hingga panjang.
Perjanjian tersebut termasuk akta novasi, yang memastikan bahawa semua hak dan kewajipan yang ada di bawah perjanjian pembelian tenaga solar (SPPA) dengan pelanggan, Apex Office Furniture Exporter Sdn Bhd, akan dipindahkan kepada VESB.
Pemerolehan dijangka selesai dalam tempoh 14 hari selepas semua syarat-syarat terdahulu dipenuhi.
Pemerolehan berkenaan diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan kerana FSSB dimiliki sepenuhnya oleh Fast Energy Holdings Bhd, pemegang saham utama Vsolar melalui pegangan 28.15% menerusi Fast Assets Sdn Bhd.
Lembaga Pengarah Vsolar telah meneliti pemerolehan itu dan percaya ia adalah untuk kepentingan terbaik syarikat dan pemegang sahamnya. - DagangNews.com








