KUALA LUMPUR 12 Jun – Vizione Holdings Bhd mengumumkan, kontrak bernilai RM490 juta untuk membina pangsapuri di Sabah yang dianugerahkan oleh Permaju Industries Bhd telah dibatalkan serta-merta dengan persetujuan kedua-dua pihak.
Vizione berkata, anak syarikat miliknya, Bina Permai Sdn Bhd, yang dilantik sebagai kontraktor utama, bersetuju untuk menamatkan kontrak itu bersama dengan Permaju Property Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Permaju Industries.
Kontrak itu diperoleh pada Disember 2023.
Bina Permai sepatutnya membina tiga blok pangsapuri yang mengandungi 1,344 unit di Kota Kinabalu.
"Permaju Property bercadang untuk menghantar semula pelan pembangunan projek kepada pihak berkuasa.
"Disebabkan perkara ini, lembaga pengarah membuat penilaian semula terhadap keuntungan projek itu dan akhirnya kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan kontrak secara baik," kata Vizione dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Vizione juga menjelaskan, kerja-kerja pembinaan belum dimulakan dan tiada kos besar yang telah dikeluarkan.
Berdasarkan maklumat sebelum ini, Permaju Property dikendalikan oleh dua pengarah iaitu Tang Boon Koon dan Yee Yit Yang.
Bina Permai pula diketuai oleh Goon Mong Yee, Chong Yee Hing dan Datuk Chong Loong Men.
Pemegang saham terbesar Vizione adalah Symphony Life Bhd dengan pegangan sebanyak 25.89%, diikuti oleh LKL International Bhd (9.05%) dan Lazarus Capital Partners (3.62%).
Sementara itu, pemegang saham terbesar Permaju Industries adalah Vsolar Group Bhd dengan 16.35% pegangan, diikuti oleh Morgan Stanley Investment Bank Brokerage (5.05%) dan AE Multi Holdings Bhd (4.08%). - DagangNews.com








