KUALA LUMPUR 1 Julai – Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) mengumumkan pelantikan Viviantie Sarjuni sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu.
Viviantie merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) sebelum ini.
Kini, beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Ekonomi di bawah Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Presiden Alumni Chevening Malaysia bagi penggal 2024–2026.
Lembaga Pemegang Amanah dan seluruh warga kerja INSKEN mengalu-alukan pelantikan tersebut serta merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) atas persetujuan yang diberikan.
Mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam syarikat multinasional (MNC) dan agensi kerajaan, Viviantie juga mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi, inovasi serta kreativiti.
Malahan, beliau pernah menjalani tempoh setahun enam bulan di Scotland bagi mendalami ekosistem inovasi sosial di Eropah, dan berkhidmat selama empat tahun dengan sebuah syarikat berpangkalan di Albuquerque, New Mexico, Amerika Syarikat yang memperkukuh pemahamannya terhadap ekosistem global.
Antara pengiktirafannya termasuk Kindness & Leadership 50 Leading Lights In The Asia Pacific 2024, Wiki Impact 100 Changemakers In Malaysia 2024, dan Sabah’s 100 Most Inspiring Women.
Syarikat berharap pelantikan Viviantie akan memperkukuh pengurusan dan gerak kerja institut itu, di samping memperkasakan ekosistem keusahawanan negara dalam membantu usahawan mikro dan informal kekal berdaya saing serta terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.- DagangNews.com








