Vinvest lantik TA Securities sebagai penaja, elak saham digantung Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vinvest lantik TA Securities sebagai penaja, elak saham digantung Bursa Malaysia

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 24 Julai — Vinvest Capital Holdings Berhad berjaya mengelak tindakan digantung dagangan dan penyahsenaraian sahamnya selepas Bursa Malaysia memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap syarikat itu susulan pelantikan penaja.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Vinvest berkata keputusan itu dibuat selepas Bursa mempertimbangkan keadaan syarikat, khususnya pelantikan TA Securities Holdings Bhd sebagai penaja pada 17 Julai lalu serta maklum balas bertulis yang dikemukakan syarikat berhubung notis tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh bursa.

 

Sebelum ini, Vinvest menerima notis tunjuk sebab pada 10 Julai selepas gagal melantik penaja sebelum tarikh akhir 8 Julai seperti yang dikehendaki di bawah Kaedah 8.03A Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Gagal lantik penaja dalam tempoh ditetapkan: Saham Vinvest berdepan risiko digantung, dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia

 

Syarikat itu diwajibkan melantik penaja dalam tempoh tiga bulan daripada pengumuman pertamanya pada 8 April sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan kedudukan kewangannya.

 

Bursa Malaysia turut memberikan Vinvest tempoh lima hari pasaran, sehingga 17 Julai, untuk menjelaskan mengapa dagangan sekuritinya tidak sepatutnya digantung dan mengapa syarikat itu tidak seharusnya dinyahsenaraikan daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia.

 

Pada hari yang sama, Vinvest melantik TA Securities sebagai penajanya dan mengemukakan representasi bertulis kepada Bursa Malaysia.

 

Permodalan pasaran

Saham Vinvest ditutup meningkat 0.5 sen kepada 1.5 sen semalam, sekali gus memberikan syarikat itu permodalan pasaran kira-kira RM15 juta.

 

Vinvest, yang sebelum ini dikenali sebagai Vivocom Intl Holdings Bhd, merupakan sebuah syarikat pegangan pelaburan dengan perniagaan teras dalam bidang kejuruteraan awam dan pembinaan, perkhidmatan kejuruteraan telekomunikasi, pembangunan hartanah serta reka bentuk dan fabrikasi aluminium.

 

Melalui anak-anak syarikatnya, kumpulan itu turut terlibat dalam aktiviti perdagangan bahan binaan, perlombongan sumber semula jadi dan pertanian menegak. - DagangNews.com