Velesto peroleh kontrak baharu gerudi tujuh telaga di pesisir Teluk Thailand mulai suku ketiga 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Velesto peroleh kontrak baharu gerudi tujuh telaga di pesisir Teluk Thailand mulai suku ketiga 2026

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 4 JunVelesto Energy Berhad mengukuhkan kedudukan dalam pasaran penggerudian luar pesisir selepas memperoleh kontrak baharu penyediaan pelantar penggerudian di Thailand.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata anak syarikatnya, Velesto Sumber Sdn Bhd (VSSB), menyediakan pelantar jenis 'jack-up' iaitu NAGA 6 di perairan Teluk Thailand.


Tambahnya, surat penganugerahan (LOA) tender itu diperoleh daripada Northern Gulf Petroleum Pte Ltd (NGP) bagi kerja penyediaan pelantar penggerudian tersebut serta perkhidmatan yang berkaitan.


"Kontrak berkenaan melibatkan kerja penggerudian sebanyak empat telaga 'infill' dan tiga telaga eksplorasi, selain diberikan pilihan tambahan bagi satu lagi telaga eksplorasi," jelas Velesto.


Operasi penggerudian berkenaan ujar kumpulan tersebut, dijadualkan bermula pada suku ketiga 2026, serta dijangka dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi jangka sederhana.


NAGA 6 merupakan pelantar penggerudian 'jack-up' premium yang mempunyai keupayaan penggerudian mencecah kedalaman 9,144 meter, serta mampu beroperasi di kedalaman air sehingga lebih 114 meter.


 

Velesto_DagangNews2026



Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, pemerolehan kontrak tersebut mencerminkan keyakinan pelanggan mereka terhadap keupayaan operasi dan perkhidmatan penggerudian kumpulan itu.


"Kami menghargai kepercayaan yang diberikan oleh NGP, dan kontrak ini menyokong kadar penggunaan berterusan pelantar, serta mampu menjana secara positif kepada hasil kumpulan," kata beliau.


Ia juga mengukuhkan lagi segmen penggerudian serta membuktikan keupayaan peluang baharu dalam pasaran operasi teras ketika aktiviti pembangunan dan eksplorasi luar pesisir terus berkembang.


NGP merupakan syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas (O&G) swasta pertama serta satu-satunya milik tempatan di Thailand yang terlibat dalam pembangunan pengurusan aset segmen huluan.


Menurut kenyataan Velesto itu lagi, kontrak baharu berkenaan diunjur memberikan sumbangan yang positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan tersebut sepanjang tempoh pelaksanaannya.


"Lembaga Pengarah berpandangan kontrak diperoleh VSSB adalah demi kepentingan terbaik kumpulan, selain membantu mengekalkan tahap penggunaan aset penggerudian pada kadar mampan," katanya.


Ujarnya, risiko utama berkaitan kontrak itu melibatkan aspek operasi dan pelaksanaan, namun akan diuruskan melalui kepakaran kumpulan dalam operasi penggerudian luar pesisir. - DagangNews.com