Velesto masuk fasa perbelanjaan modal rendah, agihan dividen dijangka lebih tinggi - BIMB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Velesto masuk fasa perbelanjaan modal rendah, agihan dividen dijangka lebih tinggi - BIMB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Okt - Velesto Energy Berhad menunjukkan komitmen tinggi bagi meningkatkan pulangan kepada pemegang saham menerusi pengagihan dividen yang lebih baik pada masa hadapan, didorong prospek pendapatan kukuh.

 

BIMB Research berkata, selepas menyiapkan perbelanjaan modal utama (capex) dan kitaran tinjauan berkala khas (SPS) baru-baru ini, syarikat itu kini memasuki fasa capex rendah dengan tahap pinjaman yang minimum.

 

Langkah itu katanya, meletakkan Velesto dalam kedudukan baik untuk mengagihkan pendapatan bersih, disokong penjanaan tunai kukuh serta kedudukan kewangan yang sihat.

 

"Kami turut menaikkan andaian dividen sesaham (DPS) bagi tahun kewangan 2025 (FY25) hingga FY27 kepada dua sen daripada 1.5 sen sebelum ini – bersamaan hasil dividen menarik sekitar 7.7% serta kadar pembayaran dividen antara 106% hingga 132%.

 

"Penilaian ini mencerminkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 14 kali dan harga kepada nilai buku (P/B) sebanyak 0.85 kali bagi FY25," katanya daam satu nota kajian.

 

Firma penyelidkan itu berkata, strategi kepelbagaian geografi Velesto mampu mengekalkan kadar penggunaan pelantar pada tahap optimum serta kadar sewaan harian yang kekal tinggi melebihi AS$100,000 sehari.

 

Katanya, antara pemangkin utama kepada prestasi saham termasuk potensi penambahan buku tempahan melalui kontrak jangka panjang baharu serta peningkatan kadar pembayaran dividen.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan sedia ada dan terus mengekalkan saranan “beli” (buy) dengan harga sasaran tidak berubah pada 27 sen sesaham. 

 

Pada paras harga sasaran itu, saham Velesto menawarkan potensi pulangan keseluruhan sebanyak 11.5%, termasuk hasil dividen sebanyak 7.7%.

 

Velesto kini aktif membida pelbagai kontrak, khususnya bagi pelantar NAGA 2 dan NAGA 6, yang dijangka tamat menjelang suku keempat 2025 (4Q25) atau suku pertama 2026 (1Q26).

 

BIMB Research menganggarkan buku tender kumpulan kini berjumlah RM4.3 bilion, merangkumi RM3.44 bilion kontrak penggerudian jangka panjang, RM258 juta kontrak jangka pendek, dan RM604 juta tender bukan penggerudian.

 

Setakat akhir 2Q25, Velesto mempunyai buku tempahan kukuh bernilai RM1.1 bilion, dengan kadar penggunaan pelantar terjamin sebanyak 72% untuk 2025, 35% bagi 2026, dan 21% bagi 2027. 

 

"Kadar ini dijangka meningkat sekiranya syarikat berjaya memperoleh kontrak baharu jangka panjang bagi menggantikan pelantar yang tamat tempoh," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, asas industri kekal positif, disokong harga minyak mentah yang stabil antara AS$60 hingga AS$70 setong, yang terus menggalakkan perbelanjaan dan aktiviti penggerudian huluan.

 

Walaupun S&P Petrodata menjangkakan kadar penggunaan global pelantar jenis jack-up menurun kepada 81% bagi FY25 hingga FY27 (daripada 92% pada FY24), penurunan itu lebih perlahan daripada jangkaan, dengan kadar sebenar masih kukuh sekitar 90% setakat Jun 2025.- DagangNews.com