UPS perluas operasi di Johor dengan kemudahan baharu bagi percepat penghantaran  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPS perluas operasi di Johor dengan kemudahan baharu bagi percepat penghantaran 

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 28 Mei – Syarikat logistik dan penghantaran, UPS tingkatkan perkhidmatan di Johor dengan kemudahan baharu di Senai bagi mempercepat penghantaran dan mengukuhkan ketersambungan global.

 

Kemudahan baharu itu merangkumi sebuah gudang di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai serta pusat pembungkusan baharu yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Pengarah Urusan Kanan UPS Malaysia, Ingrid Sidiadinoto berkata, penambahbaikan itu sejajar dengan potensi JS-SEZ dan menyokong ketahanan rantaian bekalan pelanggan.

 

"Johor merupakan pusat industri penting, terutama dalam sektor pembuatan dan teknologi tinggi. Keupayaan menghantar dan menerima barangan dalam masa dua hari bekerja atau kurang memberi kelebihan besar kepada perniagaan di sini.

 

"Ini memberikan akses pantas dan fleksibel kepada rangkaian logistik global UPS, sekali gus menjadikan pelanggan lebih responsif, berdaya tahan, dan berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan.

 

ups
Pengarah Urusan UPS Malaysia dan Singapura, Ingrid Sidiadinoto

 

Kemudahan baharu itu mengukuhkan komitmen UPS dalam meluaskan operasi di Malaysia dan memperkukuh kedudukan negara sebagai hab rantaian bekalan dan logistik serantau.

 

Melalui pelaburan itu, barangan import dan eksport dari Johor ke negara-negara Asia Pasifik kini boleh tiba seawal hari berikutnya, manakala penghantaran dari Eropah serta Amerika Syarikat pula dijangka tiba dalam tempoh dua hari bekerja.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Abdul Majid berkata, fasiliti UPS di Senai mendapat manfaat jaringan pengangkutan kukuh seperti lebuh raya, kereta api, dan pelabuhan utama berhampiran.

 

ups

 

"Ini menjadikannya pintu masuk strategik bagi rumusan logistik bersepadu dan menyokong matlamat Malaysia MADANI ke arah ekonomi berinovasi dan bernilai tinggi.

 

"MIDA akan terus menyokong syarikat seperti UPS dalam membina pertumbuhan mampan ekosistem logistik negara," katanya.

 

ups
 Pengurus Operasi UPS Malaysia, Adam Sulaiman

 

Pelaburan itu susulan beberapa inisiatif strategik UPS termasuk perluasan perkhidmatan 2024 yang membolehkan penghantaran dari Johor ke lebih 50 negara di benua Amerika dalam dua hari bekerja.

 

ups

 

UPS juga menjalinkan kerjasama dengan Ninja Van membolehkan pelanggan membuat penghantaran ekspres antarabangsa di lebih 50 cawangan Ninja Van di Lembah Klang.- DagangNews.com