Untung bersih Yinson pada 1QFY26 susut 43.3% kepada RM115 juta disebabkan hasil lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Yinson pada 1QFY26 susut 43.3% kepada RM115 juta disebabkan hasil lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jun - Untung bersih Yinson Holdings Berhad pada suku pertama berakhir 30 April 2025 (1QFY26) menyusut 43.3% kepada RM115 juta berbanding RM203 juta bagi suku sama tahun sebelumnya disebabkan sumbangan hasil yang lebih rendah daripada aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC).

 

Kumpulan itu berkata, hasil juga menyusut sebanyak 44% kepada RM1.23 bilion berbanding RM2.21 bilion pada 1QFY25 kerana FPSO Maria Quiteria dan FPSO Atlanta telah mencapai pengeluaran minyak pertama masing-masing pada 15 Oktober 2024 (3QFY25) dan 31 Disember 2024 (4QFY25), manakala FPSO Agogo kini berada di peringkat akhir pembinaan.

 

“Kemajuan sebenar projek-projek kami yang sedang dalam pembinaan adalah selaras dengan jangkaan kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Lembaga pengarah telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak dua sen sesaham bagi tahun kewangan 2026, dengan tarikh kelayakan pada 4 September 2025, dan akan dibayar pada 26 September 2025.

 

Mengulas mengenai prospek kumpulan, Pengerusi Eksekutif Yinson, Lim Han Weng berkata, pihaknya komited untuk terus menyampaikan pertumbuhan yang kukuh dan nilai kepada pemegang saham. 

 

Beliau berkata, sepanjang suku itu, pihaknya berjaya memuktamadkan pelaburan berjumlah AS$1 bilion yang telah diumumkan sebelum ini daripada sebuah konsortium firma pelaburan antarabangsa.

 

Katanya, dalam menyokong usaha penyahkarbon global, kumpulan itu bekerjasama dengan ‘K’ Line untuk membangunkan dan memasarkan unit penyimpanan dan suntikan terapung serta kapal pengangkut CO2 cecair.

 

"Yinson GreenTech telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura serta RMS Marine & Offshore Service untuk memajukan penyahkarbonan dalam sektor maritim, dan turut mengumumkan kerjasama dengan PLUS Malaysia Berhad untuk membangunkan Hab Runcit Bersepadu & Pengecasan EV di kawasan rehat dan rawat Seremban.

 

"Pencapaian ini menandakan pengukuhan dalam bidang teras kami dan laluan pertumbuhan yang menjanjikan," katanya. - DagangNews.com