KUALA LUMPUR 12 Jun – Untung bersih VS Industry Bhd pada suku ketiga berakhir 30 April 2025 (3QFY25) jatuh 56.33% kepada RM23.77 juta berbanding RM54.42 juta pada suku sama tahun lalu, akibat jualan yang lebih rendah.
Bagaimanapun, hasil kumpulan itu menyusut 10% kepada RM909.42 juta daripada RM1.01 bilion.
Pengarah Urusan VS Industry, Datuk SY Gan berkata, pengumuman langkah tarif baharu Amerika Syarikat terhadap beberapa negara dagangan termasuk Malaysia telah mendorong pelanggan melaras semula pesanan.
"Aliran pesanan di Malaysia dan Singapura dalam masa terdekat bergantung kepada sentimen pengguna serta perkembangan langkah tarif, terutama selepas tamat tempoh kelonggaran 90 hari pada awal Julai 2025.
"Kumpulan telah memulakan pengeluaran besar-besaran di Filipina, dengan kadar penggunaan kapasiti dijangka meningkat secara berperingkat menjelang hujung tahun," katanya dalam satu kenyataan.
Kos kewangan meningkat 17% kepada RM10.66 juta, manakala perbelanjaan operasi menurun 2.67% kepada RM33.45 juta. Kerugian bersih tukaran asing pula merosot kepada RM550,000 berbanding RM6.93 juta sebelum ini.
Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) turut mengisytiharkan dividen saham melalui pengagihan satu saham perbendaharaan bagi setiap 125 saham biasa sedia ada.
Bagi sembilan bulan tahun kewangan 2025 (9MFY25), untung bersih susut 41.59% kepada RM69.75 juta berbanding RM119.41 juta, manakala hasil berkurang 3.48% kepada RM2.92 bilion daripada RM3.03 bilion.
VS Industry juga terus menjalankan pembangunan produk baharu bersama pelanggan dan meneroka peluang pemulihan pada suku akan datang, disokong pelancaran model baharu oleh beberapa pelanggan.
Secara keseluruhan, kumpulan kekal positif terhadap prospek jangka panjang, disokong asas pelanggan kukuh, struktur operasi menyeluruh yang baik, kedudukan kewangan yang stabil serta pengurusan kos dan risiko yang berhemah.- DagangNews.com








