KUALA LUMPUR 19 Feb - Apex Securities mengunjurkan Seng Fong Holdings Bhd mencatat untung bersih lebih rendah sebanyak RM55.8 juta bagi tahun berakhir Jun 2025.
Firma penyelidikan menyemak turun unjuran untung bersih kumpulan pada 2025 berdasarkan prestasi kewangan baru-baru ini yang hanya menyumbang lebih satu pertiga daripada ramalan tahun penuh Apex Securities.
Katanya, penyusutan Seng Fong disebabkan pengeluaran lebih rendah berterusan dan margin keuntungan kasar lebih tipis dipengaruhi oleh masa pembelian dan penghantaran bahan yang tidak padan.
“Harga bahan mentah getah yang turun naik mungkin menjejaskan margin buat sementara waktu.
“Bagaimanapun, harga secara relatifnya stabil dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ia menunjukkan jangkaan lantunan semula dalam pendapatan suku tahunan akan datang,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Saham Seng Fong telah merosot lebih daripada 10% sejak permulaan 2025 apabila harga global getah asli, bahan mentah utamanya, meningkat berikutan gangguan rantaian bekalan dan cuaca buruk di negara pengeluaran utama.
Syarikat penyelidikan itu juga menyederhanakan jangkaan penilaian kumpulan itu.
"Kami percaya sentimen pasaran semasa yang lemah, harga bahan mentah turun naik dan pemasangan mesin automasi berterusan akan mengakibatkan ketidakpastian jangka pendek kepada margin keuntungan,"
"Pelabur bagaimanapun disaran untuk tetap membeli saham dan memanfaatkan kejatuhan harga saham bagi membeli lebih banyak saham, kerana kami menjangkakan saham Seng Fong akan menunjukkan prestasi yang baik dalam jangka masa panjang.
"Keyakinan kami terhadap prospek jangka panjang kumpulan itu kekal disokong oleh pengembangan kapasiti dan kami melihat saham itu bertahan semasa sentimen pasaran lemah semasa disebabkan pengagihan dividen suku tahunannya stabil, berpotensi menawarkan hasil kira-kira 5%," katanya.
Sementra itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" ke atas saham Seng Fong dan menyemak turun harga sasaran (TP) kepada RM1.41 daripada RM1.90.- DagangNews.com








