Untung bersih SD Guthrie pada 2QFY25 diramal susut kepada RM400 juta, kata UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih SD Guthrie pada 2QFY25 diramal susut kepada RM400 juta, kata UOBKH

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - Untung bersih SD Guthrie Bhd pada 2QFY25 diramal menyusut kepada antara RM380 juta hingga RM400 juta disebabkan penurunan harga minyak sawit mentah (MSM), kata UOB Kay Hian (UOBKH) Research.

 

Bagaimanapun, katanya, walaupun purata harga jualan (ASP) lebih lemah, hasil pada 2QFY25 disokong peningkatan pengeluaran.

 

“Keluaran buah tandan segar (BTS) pada April dan Mei meningkat sebanyak 13% dan 4% secara bulanan dan meningkat kira-kira 5% dari tahun ke tahun. Ia menunjukkan perubahan positif dalam trend pengeluaraanya selepas beberapa bulan yang tidak menentu sebelum ini.

 

"Ini menunjukkan kumpulan tersebut sedang mengatasi kekecewaan pengeluaran yang dilihat pada bulan-bulan sebelumnya akibat gangguan cuaca basah pada penghujung 2024 serta kesan tertunda El Nino pada 2023," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, SD Guthrie akan terus mengembangkan segmen pembangunan perindustrian dan perniagaan tenaga boleh baharu (RE).

 

Katanya, selepas kumpulan itu memeterai memorandum persefahaman dengan EcoWorld Development Group Bhd dan NS Corp untuk membangunkan taman perindustrian ikonik seluas 485.6 hektar di Negeri Sembilan dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan sebanyak RM2.95 bilion.

 

Mereka juga memeterai usaha sama dengan Sime Darby Property Bhd bagi membangunkan tanah seluas 809.4 hektar di Pulau Carey, Selangor sebagai hab perindustrian dan logistik.

 

UOBKH menaikkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 sebanyak 4% hingga 5%, terutamanya selepas menyemak semula andaian kos seunit MSM ke paras lebih rendah.

 

“Ini susulan panduan terbaru yang diberikan oleh pihak pengurusan yang menunjukkan persekitaran kos operasi yang lebih stabil walaupun terdapat tekanan inflasi seperti pelarasan kenaikan gaji minimum,” katanya.

 

Firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan “pegang” terhadap SD Guthrie dengan harga sasaran (TP) RM4.75 sesaham. - DagangNews.com