Untung bersih Scientex pada 2QFY25 susut kepada RM123.95 juta kesan kelemahan segmen pembungkusan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Scientex pada 2QFY25 susut kepada RM123.95 juta kesan kelemahan segmen pembungkusan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mac - Untung bersih Scientex Bhd pada suku kedua berakhir 31 Januari 2025 (2QFY25) susut 12.1% kepada RM123.95 juta berbanding RM141.01 juta pada 2QFY24 kesan kelemahan segmen pembungkusannya.

 

Kumpulan itu berkata, keuntungan operasi segmen itu berjumlah RM42.1 juta pada suku yang ditinjau, susut daripada RM64 juta setahun lalu berikutan peningkatan persaingan pasaran dalam produk pembungkusan industri, manakala produk pembungkusan pengguna kekal stabil.

 

"Hasil syarikat meningkat sebanyak 1.1% kepada RM1.11 bilion pada suku tersebut berbanding RM1.09 bilion pada 2QFY24 disokong hasil yang lebih baik dalam segmen hartanah.

 

"Segmen itu menyaksikan peningkatan 3.8% dalam hasil kepada RM474.4 juta disumbangkan kemajuan pembinaan yang stabil untuk semua pembangunan dan penyiapan tujuh projek dengan Sijil Siap dan Pematuhan di semenanjung Malaysia," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Bagi separuh pertama berakhir 31 Januari 2025 (1HFY25), untung bersih Scientex turun kepada RM252.5 juta daripada RM278.85 juta setahun sebelumnya manakala hasil bagi tempoh itu meningkat sedikit kepada RM2.21 bilion daripada RM2.2 bilion sebelumnya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, bahagian pembungkusan akan terus berdepan cabaran termasuk persaingan industri, tekanan inflasi, turun naik mata wang asing, ketidaktentuan eopolitik dan sentimen pasaran yang lemah 

 

"Kami kekal teguh dalam fokus kami pada pengurusan kos dan kecekapan operasi sambil memanfaatkan kapasiti dan keupayaan kukuh kami untuk memacu inovasi dan menyampaikan rumusan pembungkusan nilai tambah yang disesuaikan," katanya.

 

Katanya, bahagian hartanah terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen rumah mampu milik, didorong permintaan berterusan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah. 

 

Kumpulan itu juga komited untuk menangani keperluan ini, bahagian hartanah terus mengembangkan portfolionya dengan rumah yang berkualiti dan menjimatkan kos untuk memenuhi permintaan pasaran.

 

Belanjawan Malaysia 2025 memperkenalkan beberapa langkah untuk meningkatkan kemampuan perumahan, merangsang permintaan pasaran dan menambah baik akses pembiayaan untuk rumah mampu milik.

 

"Selain itu, kestabilan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3%, memastikan kemampuan pinjaman perumahan yang berterusan, memudahkan pembeli mendapatkan pembiayaan.

 

"Langkah-langkah ini dijangka meningkatkan keyakinan pembeli, meningkatkan kadar pengambilan dan momentum jualan yang berterusan untuk projek rumah mampu milik kami," katanya.- DagangNews.com