KUALA LUMPUR 27 Nov – Able Global Berhad (AGB) mencatatkan pertumbuhan untung bersih dua digit bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (Q3FY2025), apabila keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 9.8% kepada RM19.8 juta berbanding RM18.0 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pelaburan yang terlibat dalam pembuatan tin, makanan dan minuman (F&B) serta pembangunan hartanah itu turut merekodkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 3.8% kepada RM25.3 juta berbanding RM24.4 juta pada Q3FY2024.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan (9MFY2025), untung bersih kumpulan meningkat 1.5% kepada RM52.4 juta daripada RM51.6 juta, disokong oleh sumbangan stabil daripada segmen pembuatan tin, F&B serta operasi luar negara.
Sejajar prestasi kewangan itu, Lembaga Pengarah AGB mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 2.0 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan tarikh pembayaran dan penutupan buku akan ditentukan kemudian.
Pengurusan AGB berkata dalam kenyataan, walaupun berdepan persekitaran makroekonomi yang mencabar, kumpulan terus mencatatkan pertumbuhan yang mampan dalam segmen utama.
“Walaupun perniagaan pembuatan tin berdepan persaingan sengit serta turun naik harga komoditi dan pertukaran asing, kami kekal yakin segmen ini akan terus stabil, disokong oleh kecekapan operasi serta permintaan yang berdaya tahan daripada pelanggan utama,” katanya.
Menurut pengurusan, permintaan global bagi produk tenusu kekal sihat, dengan harga kebanyakan bahan mentah yang menunjukkan kestabilan sepanjang suku berkenaan, sekali gus menyokong keuntungan segmen F&B.
“Operasi syarikat di Mexico terus mencatatkan keputusan yang kukuh dan menyumbang positif kepada PBT kumpulan melalui bahagian keuntungan daripada usaha sama. Bagi Q3FY25, sumbangan keuntungan usaha sama berjumlah RM2.5 juta, menjadikan jumlah kumulatif bagi 9MFY25 sebanyak RM5.4 juta,” katanya.
Katanya lagi, kira-kira 10% hingga 15% daripada jumlah eksport operasi Mexico pada masa ini adalah ke Amerika Syarikat dan kumpulan sedang meneroka peluang di bawah Perjanjian Amerika Syarikat–Mexico–Kanada (USMCA) yang membolehkan perdagangan pertanian tanpa tarif.
“Dengan memanfaatkan rangka kerja USMCA ini, ia berpotensi meningkatkan daya saing serta pendapatan kumpulan dengan lebih kukuh pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com








