Pengambilalihan pegangan Saudi Aramco di Pengerang tidak akan menyebabkan PETRONAS tangguh pelaburan - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengambilalihan pegangan Saudi Aramco di Pengerang tidak akan menyebabkan PETRONAS tangguh pelaburan - CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Jun - Komitmen tunai berkaitan pengambilalihan 50% pegangan Saudi Aramco dalam Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (PRefChem) tidak akan menyebabkan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menangguhkan pelaburan, menurut CIMB Securities.

 

Firma pelaburan itu berkata, faktor tersebut termasuk kemungkinan keperluan pembayaran dividen yang lebih tinggi kepada kerajaan hanya bersifat sementara dan sebahagiannya boleh diimbangi oleh peningkatan aliran tunai hasil daripada harga minyak yang lebih tinggi.

 

Menurutnya, PETRONAS sebenarnya tidak mempunyai banyak alasan untuk terus menangguhkan pelaburan berikutan harga minyak mentah yang kekal tinggi ketika ini mampu meningkatkan daya maju projek serta mengukuhkan aliran tunai syarikat.

 

"Syarikat minyak nasional itu juga disokong oleh kedudukan tunai yang kukuh selain proses penstrukturan semula tenaga kerja yang dimulakan pada 2025 dijangka memberi lebih fleksibiliti kepada kumpulan untuk meneruskan pelaburan strategik.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan penarafan "overweight" terhadap sektor minyak dan gas (O&G), disokong oleh jangkaan pemulihan perbelanjaan modal (capex) dalam segmen huluan ketika penilaian syarikat perkhidmatan medan minyak masih berada pada paras menarik.

 

Menurut CIMB Securities, harga minyak yang lebih tinggi dan mampan akan meningkatkan daya maju projek baharu, manakala kelewatan berterusan dalam pelaburan boleh menyebabkan syarikat minyak terlepas kitaran pelaburan semasa serta berdepan tempoh menunggu lebih lama untuk mendapatkan peralatan dan perkhidmatan.

 

Firma itu mengunjurkan harga minyak mentah Brent mencecah AS$85 setong pada separuh kedua 2026 sebelum menyederhana kepada AS$80 setong pada separuh pertama 2027.

 

Pada masa sama, harga Brent semasa yang berada dalam lingkungan A$75 hingga AS$80 setong menunjukkan pasaran menjangkakan proses normalisasi aliran minyak melalui Selat Hormuz berjalan lancar susulan kemajuan rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran.

 

Pengisian Semula Inventori Sokong Permintaan Minyak Mentah

CIMB Securities berkata, kesan gangguan bekalan setakat ini berjaya dikurangkan melalui kadar penggunaan loji penapisan global yang lebih rendah, penggunaan laluan eksport alternatif oleh negara-negara Teluk Parsi serta pelepasan stok daripada rizab petroleum strategik.

 

Namun, firma itu menganggarkan jumlah kehilangan bekalan terkumpul sepanjang konflik di Asia Barat telah melebihi satu bilion tong minyak.

 

Menurutnya, proses mengisi semula inventori yang susut dan membina semula penampan bekalan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun, sekali gus menyokong permintaan minyak mentah dan mengekalkan harga Brent melebihi AS$70 setong walaupun aliran minyak melalui Selat Hormuz kembali normal dalam tempoh terdekat.

 

“Paras harga ini masih cukup sihat untuk mengekalkan aktiviti pelaburan dalam segmen huluan,” katanya.

 

Dalam sektor O&G, CIMB memilih Dayang Enterprise Holdings Bhd, Dialog Group Bhd dan MISC Bhd sebagai pilihan utama.

 

Dayang dilihat menarik apabila sahamnya didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sekitar 10 kali, lebih rendah berbanding purata lima tahunnya sebanyak 12 kali walaupun berpotensi menerima semakan naik terhadap unjuran pendapatan.

 

Selain itu, syarikat lain yang dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan perbelanjaan huluan termasuk Velesto Energy Bhd, Keyfield International Bhd dan Perdana Petroleum Bhd.

 

Bagi Dialog, pemangkin utama adalah penutupan kewangan loji aromatik di Kompleks Tenaga Pengerang, manakala MISC dijangka meraih manfaat daripada kitaran pelaburan baharu dalam aset pengeluaran huluan.

 

Bagaimanapun, CIMB Securities berkata, antara risiko utama kepada prospek positif sektor tersebut termasuk gangguan bekalan yang kurang serius daripada jangkaan di Asia Barat, kelembapan ekonomi global yang lebih ketara serta permintaan minyak dunia yang lebih lemah daripada jangkaan. - DagangNews.com