KUALA LUMPUR 19 Feb - Untung bersih Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM21.38 juta berbanding RM6.18 juta pada suku sama tahun lalu dipacu peningkatan keuntungan dalam segmen kejuruteraan berat dan marin.
Bagaimanapun hasil keseluruhan kumpulan menyusut kepada RM817.61 juta berbanding RM1.12 bilion pada 4QFY23.
Sepanjang tahun kewangan penuh, MMHE mencatatkan keuntungan bersih RM121 juta berbanding kerugian bersih RM484.19 juta pada FY23, manakala pendapatan RM3.61 bilion berbanding RM3.31 bilion pada tahun sebelumnya.
MMHE berkata, segmen kejuruteraan berat mencatatkan penurunan hasil RM312.1 juta kepada RM708.1 juta pada 4QFY24.
Bagaimanapun, keuntungan operasi segmen itu meningkat kepada RM22.6 juta daripada RM7.4 juta pada suku perbandingan sebelumnya, berikutan pengiktirafan perubahan tuntutan pesanan.
Sementara itu, segmen marin kumpulan itu melaporkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM109.5 juta, berbanding RM98.2 juta pada suku yang sama sebelumnya hasil daripada aktiviti penukaran yang lebih tinggi.
Keuntungan operasi segmen itu meningkat seiring kepada RM7 juta, berbanding RM2 juta pada suku tahun lalu.
Menurut kumpulan itu, mereka kekal fokus untuk mengejar kontrak yang sejajar dengan objektif strategiknya sambil memperhalusi strategi risiko kontraknya untuk menyokong prestasi mampan dan pertumbuhan jangka panjang.
Bagi segmen kejuruteraan berat, perbelanjaan modal huluan dalam minyak dan gas diunjurkan berkembang dengan stabil, manakala pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) terus meningkat.
"Pertumbuhan ini meletakkan segmen untuk memanfaatkan peluang merentasi kedua-dua sektor tenaga konvensional dan baru muncul untuk memastikan portfolio yang seimbang," kata dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Selain itu, peningkatan pelaburan dalam aktiviti huluan dijangka mewujudkan ruang bagi segmen marin untuk memanfaatkan projek penukaran.
"Walaupun menghadapi cabaran berterusan seperti persaingan sengit, segmen itu akan meneruskan usahanya untuk mendapatkan penukaran dan kontrak pembaikan utama serta meluaskan pangkalan pelanggannya untuk mengekalkan momentum perniagaan dan memastikan pendapatan yang stabil." katanya. - DagangNews.com








