KUALA LUMPUR 15 Mei – MGB Berhad mencatatkan peningkatan 16.7% keuntungan bersih kepada RM14.04 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM12.03 juta pada tempoh sama FY25.
Katanya, kenaikan keuntungan selepas cukai itu didorong terutamanya oleh langkah penambahbaikan kos secara optimum, meskipun kumpulan mencatatkan perolehan yang lebih rendah bagi suku tersebut.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, kumpulan berkenaan melaporkan pendapatannya sebanyak RM210.14 juta, susut 7.7%, berbanding RM227.67 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Penurunan hasil tersebut disebabkan oleh perkembangan beberapa projek sepanjang tiga bulan itu yang ketika ini berada di fasa akhir penyiapan dengan kemajuan kerja secara minimum," jelas MGB.
Segmen pembinaan dan perdagangan mencatatkan peningkatan pendapatan kepada RM200.7 juta berbanding RM192.8 juta tahun lalu, dipacu prestasi subsidiari di luar negara serta langkah kawalan kos.
Sementara hasil segmen pembangunan hartanah menyusut kepada RM69.35 juta daripada RM114.16 juta sebelum ini, memandangkan projek-projek sedia ada sudah mencapai tahap penyiapan yang tinggi.
Mengenai prospek masa depan, MGB kekal optimis namun berhati-hati terhadap prestasi tahun kewangan 2026, disokong kuat oleh jumlah tempahan kerja pembinaan sedia ada yang mencecah RM1.25 bilion.
"Selain itu, kumpulan ini masih memiliki jualan hartanah yang tidak dibilkan sebanyak RM0.40 bilion daripada projek pembangunan hartanah yang sedang berjalan setakat 31 Mac 2026," tambahnya.
Pada masa sama ujarnya, syarikat berkenaan juga terus memperkukuhkan kedudukannya di pasaran antarabangsa, khususnya di Arab Saudi melalui kontrak-kontrak bekalan pracetak dan pembinaan.
Kata MGB lagi, setakat 31 Mac 2026, aset secara keseluruhan diuruskan oleh kumpulan tersebut masih berdiri stabil pada RM1.16 bilion. - DagangNews.com








