KUALA LUMPUR 24 Julai - AirAsia X Bhd menangguhkan pelancaran laluan Kuala Lumpur-Bahrain-London Gatwick kepada Mac 2027 berikutan ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan di Timur Tengah, sekali gus menjadikan operasi di rantau itu kurang kondusif.
Syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu berkata, perkhidmatan yang pada asalnya dijadualkan bermula pada 27 Ogos 2026 kini dijadualkan dilancarkan pada Mac 2027, tertakluk kepada keadaan operasi dan pasaran semasa.
Keputusan itu dibuat selepas syarikat menilai semula persekitaran operasi, dengan aspek keselamatan serta pertimbangan operasi kekal menjadi keutamaan utama.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, syarikat terpaksa membuat keputusan sukar itu susulan ketidaktentuan geopolitik yang masih berlarutan di Timur Tengah.
"Kami telah membuat keputusan sukar untuk menangguhkan pelancaran perkhidmatan Kuala Lumpur-Bahrain-London Gatwick berikutan ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan di Timur Tengah.
"Keselamatan dan kebajikan tetamu serta kru kami kekal menjadi keutamaan tertinggi. Keputusan ini juga selaras dengan tindakan beberapa syarikat penerbangan lain yang mengurangkan atau menggantung operasi mereka di rantau berkenaan,"* katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, AirAsia X akan terus memantau perkembangan semasa sebelum menetapkan semula tarikh pelancaran laluan itu, sambil menegaskan Bahrain kekal sebagai sebahagian penting daripada strategi rangkaian jangka panjang syarikat.
"Kami menantikan pelancaran perkhidmatan ini apabila persekitaran operasi kembali selamat dan kondusif, dan akan terus menilai perancangan kami mengikut perkembangan semasa,"* katanya.
AirAsia X berkata, semua penumpang yang terjejas akan dimaklumkan secara terus dan ditawarkan pilihan sama ada bayaran balik penuh kepada kaedah pembayaran asal atau bayaran balik dalam bentuk kredit yang sah digunakan selama 730 hari.
Syarikat penerbangan itu turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami penumpang dan menegaskan komitmennya untuk melancarkan semula laluan berkenaan apabila keadaan kembali selamat serta sesuai untuk operasi yang mampan. - DagangNews.com








